Selasa, 19 Januari 2016 | 11:59am

Mat Moto raih RM3 juta selepas 4 hari tayangan


DARI kiri, Pekin Ibrahim, Syafiq Yusof, Falisha Crossley dan Datuk Yusof Haslam di Tayangan Perdana Filem Mat Moto. - Foto Nur Syafiqah Salsabila Mohd Zaki


DARI kiri, Pekin Ibrahim, Syafiq Yusof, Falisha Crossley dan Datuk Yusof Haslam di Tayangan Perdana Filem Mat Moto. - Foto Nur Syafiqah Salsabila Mohd Zaki

KUALA LUMPUR: Filem Mat Moto meraih RM3 juta dalam tempoh empat hari, sekali gus menunjukkan permulaan yang baik buat industri filem perfileman tempatan bagi 2016.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam, berkata maklum balas yang dibuktikan menerusi kutipan memberangsangkan itu bukan sekadar petanda positif kepada Skop Productions, malah terhadap filem Melayu keseluruhan.

Secara langsung ia menandakan sokongan kaki wayang dan masyarakat yang masih tidak berbelah bagi, namun mengharapkan produk berbeza disajikan di layar perak.

"Saya akui sebagai orang baharu tentu ada kekurangan dan sebab itu Pekin Ibrahim digabungkan dengan Syafiq. Mungkin pendekatan yang berbeza daripada filem Skop terdahulu selain kisah dihidangkan membuatkan penonton teruja melihat hasilnya.

"Percubaan kami nyata membuahkan hasil. Sebagai penerbit, saya percaya kita perlu bagi peluang kepada muka baharu dan pada masa sama mengambil setiap kritikan dengan hati terbuka.

"Secara peribadi, saya juga anggap ini rezeki dua pengarahnya iaitu Pekin selaku sutradara baharu dan rezeki Syafiq yang dikurniakan anak sulung, awal tahun ini," katanya ketika dihubungi BH Online.

Terdahulu, filem lakonan Pekin, Shaheizy Sam, Syamsul Yusof, Faizal Hussein, Datuk Rosyam Nor dan Cat Farish yang ditayangkan bermula 14 Januari mencatatkan kutipan tiket RM1 juta pada hari pertama.

Filem ini berkisar pengembaraan sekumpulan penunggang yang berkongsi minat dalam sukan pemotoran berusaha merentas negara semata-mata mencari helmet berharga.

Ditayangkan hampir di 100 pawagam seluruh negara dan Brunei serta Singapura, Skop Productions menjangkakan jumlah berkenaan akan terus bertambah melihat maklum balas ramai terutama di laman sosial.

Berita Harian X