Selasa, 19 Januari 2016 | 12:05pm

Rakyat Haiti desak pilihan raya presiden ditangguh

SEORANG penunggang motosikal melintasi sebuah kereta yang dibakar penunjuk perasaan sebagai tanda protes terhadap proses pilihan raya di Port-au-Prince. Haiti menangguhkan pilihan raya Presiden kepada 24 Januari 2016. - Foto Reuters

PORT-AU-PRINCE: Penunjuk perasaan melontar batu di jalan di sini bagi mendesak penggantungan pilihan raya presiden pada 24 Januari atas dakwaan penyelewengan manakala beberapa pejabat pilihan raya di kawasan kampung dibakar.

Haiti dijangka mengadakan pilihan raya pusingan kedua yang disokong penaja antarabangsa pada Ahad, tetapi ketegangan memuncak sejak calon pembangkang Jude Celestin berkata beliau akan menarik diri minggu lalu atas alasan pihak berkuasa pilihan raya menyebelahi parti pemerintah.

Celestin, 53, calon tempat kedua dalam undian pusingan pertama undian Oktober lalu di negara Caribbean itu, menewaskan pengeksport pisang, Jovenel Moise, 47, yang juga calon parti pemerintah.

"Jika perlu saya sanggup mengangkat senjata, saya lakukan. Saya pernah melakukannya dulu," kata penduduk setinggan Jaques Madiou, 40.

Beliau pernah mengangkat senjata api selepas presiden demokrasi pertama Presiden Jean-Bertrand Aristide digulingkan pada 2004.

Pilihan raya dan peralihan kuasa di Haiti sekian lama dibelenggu ketidakstabilan dan pemerhati antarabangsa berkata undian Oktober lalu berjalan lancar.

Bagaimanapun, sebahagian daripada 54 calon mendakwa kerajaan memanipulasi keputusan.

Penunjuk perasaan semalam mendesak diwujudkan kerajaan sementara dan pilihan raya baru diadakan selepas pengunduran Presiden Michel Martelly pada Februari. Mereka termasuk beberapa kumpulan termasuk Platform Pitit Desalin dan penyokong calon pembangkang, Celestin. - Reuters

Berita Harian X