Selasa, 19 Januari 2016 | 2:57pm

MOSTI sasar komersialkan 60 produk


ABU Bakar (tengah) menyampaikan sumbangan komputer kepada wakil guru sekolah yang terpilih pada program Penyampaian Komputer Peringkat Parlimen Tangga Batu di SK Kampung Gelam. - Foto Norizzah Baharudin

MELAKA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasar 60 produk inovasi dapat dikomersialkan pada tahun ini sejajar hasrat kerajaan menjadikan 2016 sebagai Tahun Pengkomersialan Malaysia.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata kementerian juga sudah mengenal pasti sebanyak 125 produk sejak tahun 2014, namun kebanyakannya kurang berimpak tinggi.

"Jadi, ia (produk) agak sukar dikomersial dan dieksport. Menerusi perbincangan pihak kementerian di Langkawi, baru-baru ini, penekanan akan diberi kepada usaha memperkasakan aspek komersial produk penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Pendekatan ini turut terkandung dalam Bajet 2016," katanya selepas program penyerahan komputer kepada 12 sekolah rendah di kawasan Parlimen Tangga Batu di Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam, dekat sini tadi.

Abu Bakar yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, berkata kementerian juga akan mencari mekanisme terbaik supaya produk inovasi dalam negara dapat diketengahkan di pasaran, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat, antaranya barangan elektronik.

"Sebanyak RM20 juta diperuntukkan oleh MOSTI untuk tujuan R&D dan komersialisasi inovasi sosial. Saya berharap setiap inovasi ini mampu memberi kesan langsung kepada rakyat," katanya.

Berita Harian X