Selasa, 19 Januari 2016 | 3:07pm

Tugas cari rezeki kini milik suami - Yana Samsudin

YANA menafikan kerjaya seninya kini semakin suram selepas mendirikan rumah tangga. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
YANA menafikan kerjaya seninya kini semakin suram selepas mendirikan rumah tangga. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Pelakon, Yana Samsudin, 31, menafikan kerjaya seninya kini semakin suram selepas mendirikan rumah tangga.

Yana bagaimanapun menjelaskan, tanggungjawab dirinya sekarang lebih terarah terhadap keluarga selepas berkahwin.

Beliau juga enggan memberi tekanan kepada dirinya untuk bekerja keras seperti dulu, sebaliknya tugas mencari rezeki diserahkan kepada suami, Fadzil Zahari.

"Dakwaan mengatakan kerjaya seni saya semakin suram selepas berkahwin tidak benar sama sekali. Saya masih lagi menerima tawaran berlakon dan mengacara, asalkan ia bertepatan dengan imej berhijab saya ketika ini.

"Tanggungjawab untuk mencari rezeki kini menjadi tugas suami. Saya tidak lagi perlu bersusah payah bekerja keras seperti dulu kerana kini saya menjadi tanggungan suami.

"Lagipun saya sudah berkeluarga. Saya tidak mahu menyusahkan seluruh produksi hanya untuk mengikut jadual kerja saya," katanya kepada BH Online ketika ditemui di majlis resepsi Nabila Huda, baru-baru ini.

Menurut Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, beliau baru saja selesai menjalani penggambaran filem, Happy Birthdead, di Pulau Pinang, manakala jadual hariannya ketika ini pula padat dengan sesi ubah suai butik muslimah kelolaannya di Shah Alam.

Sementara itu, bintang Adnan Sempit ini turut ditawarkan watak peguam syariah menerusi drama bersiri 13 episod berjudul Mahkamah Dunia.

"Drama ini menarik kerana ia mengisahkan senario rumah tangga masyarakat tempatan yang diadaptasikan daripada kisah benar. Realiti kehidupan suami isteri boleh dijadikan pedoman untuk tatapan bersama," jelas Yana yang berkahwin dengan Fadzil awal tahun lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X