Selasa, 19 Januari 2016 | 9:22pm

PPPM lahir rakyat bertaraf dunia - Mahdzir

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berucap pada Forum Pendidikan Sedunia (EWF) 2016, di London, hari ini.

LONDON: Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dapat melahirkan rakyat berkemahiran tinggi, yang mampu bersaing di peringkat dunia.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kerajaan mahu rakyat di negara ini berupaya berfikir di luar kotak, menyelesaikan masalah secara kreatif, boleh membuat keputusan yang seimbang serta mempunyai kebolehan menyesuaikan diri dengan sosial dan budaya.

Susulan itu, beliau berkata, selaras dengan Rancangan Pembangunan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Pendidikan untuk Semua, PPPM mengetengahkan 11 lonjakan utama yang diperlukan untuk mencapai wawasan ditetapkan itu.

Katanya, ia bertujuan untuk mendapatkan keseimbangan antara pengetahuan dan kemahiran, selain etika serta moral.

"Kecekapan yang kita ingin capai menerusi pelaksanaan PPPM ini akan membolehkan pembuat dasar, pemimpin industri, usahawan muda dan tenaga kerja keseluruhannya merangka wawasan dan strategi bagi melaksanakan rancangan mereka.

"Ini akan mendorong pertumbuhan yang mapan dalam ekosistem yang kompleks sambil kita sentiasa beringat bahawa formula untuk kejayaan dalam masa depan mungkin berbeza daripada formula yang diguna pada masa lalu," katanya ketika berucap pada Forum Pendidikan Sedunia (EWF) 2016, di sini, hari ini.

Sidang kemuncak yang berlangsung selama tiga hari itu dihadiri hampir 80 menteri pendidikan dari seluruh dunia.

Forum itu juga dihadiri peserta terkemuka dalam bidang teknologi terkini, yang berperanan penting membantu bidang pendidikan menghadapi cabaran baharu berikutan kemahiran yang cepat berubah.

Dalam lawatan kerja selama lima hari ini, Mahdzir dijangka mengadakan pertemuan dengan Nick Gibb, Menteri bertanggungjawab bagi sekolah di Britain, selain menghadiri Persidangan Menteri-menteri Pendidikan Komanwel di Marlborough House.

Mahdzir berkata, kemahiran yang dimiliki pada masa kini akan sentiasa berubah pada masa depan dan usaha mempertingkatkan kebolehan diri perlu dilakukan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, pelaksanaan PPPM 2013-2015 berjaya meningkatkan literasi dan numerasi, selain menurunkan jurang pencapaian antara sekolah bandar dan di luar bandar.

"Saya gembira menyatakan kami sudah mencapai hasil yang diinginkan pada masa ini. Inisiatif pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) diberi penekanan, malah Malaysia diiktirafkan sebagai antara pemain utama TVET di Asia.

"Susulan itu, kami diberi penghormatan untuk menganjurkan Persidangan Asia Pasifik mengenai Pendidikan dan Latihan (ACET) pada Ogos tahun lalu," katanya.

Berita Harian X