Rabu, 20 Januari 2016 | 12:08am
MUHAMMAD Syakir (tengah) membaca doa selepas tamat kelas. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PELAJAR tahfiz, Ahmad Mun'ein (kiri) bersama Muhammad Syakir di Maahad Tahfiz Al-Quran Mafatihul Ulum, Taman Rasmi Jaya. - Foto Zulfadhli Zulkifli
SEKUMPULAN pelajar tahfiz bermain bola ketika waktu riadah setiap petang di padang Maahad Tahfiz al-Quran Mafatihul Ulum, Ampang. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Berdikari, berkorban demi bergelar tahfiz


AMPANG: Kebiasaannya anak-anak pada usia lapan tahun, masih manja dan mengharapkan perhatian serta bantuan ibu bapa dalam pelbagai urusan harian.

Meskipun sudah memasuki alam persekolahan, apa saja yang dilakukan masih perlu diawasi kerana meskipun mereka sudah dapat membezakan yang mana baik dan buruk, namun tidak ramai mampu berdikari.

Justeru tidak ramai ibu bapa sanggup melepaskan anak pada usia itu untuk hidup sendirian kerana beranggapan usia mereka masih terlalu muda untuk melakukan segala-galanya sendiri.

Malah, paling merisaukan ibu bapa, sejauh mana anak kecil itu mampu menahan kerinduan kepada keluarga apabila berjauhan.

Namun, situasi itu berbeza kepada dua anak kecil, Muhammad Syakir Muhammad Syahid, 9, dan Ahmad Mun'eim Muhammad Anwar, 10, yang sanggup berjauhan daripada keluarga sejak usia lapan tahun demi mencapai impian menjadi seorang tahfiz.

Menjadi pelajar Maahad Tahfiz Mafatihul Ulum (Almafaatih) di sini, menuntut mereka berdikari dalam pelbagai hal termasuk bangun pagi, uruskan kelengkapan diri, makan, belajar dan mematuhi peraturan.

AHMAD Mun'ein (kiri) bersama Muhammad Syakir, menunggu giliran untuk mandi seawal jam 4 pagi. - Foto Zulfadhli Zulkifli

MUHAMMAD Syakir (kanan) membaca al-Quran ketika waktu kelas. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Ketika ada golongan dewasa masih tidak mampu bangun seawal jam 4 pagi setiap hari, dua anak kecil itu bersama rakan-rakan mereka sudah membalut diri dengan tuala lebih awal dari itu, tanpa memerlukan sesiapa pun untuk mengejutkan mereka dari tidur.

Masing-masing bagaikan ada isyarat khas untuk mengejutkan diri untuk bangun awal tanpa lengah sebelum ke ruang mandi di luar bangunan maahad.

Muhammad Syakir, pelajar termuda di maahad itu, seorang pendiam tetapi mudah dikesan kerana sentiasa duduk di hadapan sekali pada setiap majlis ilmu dan juga mengetuai bacaan doa dalam beberapa sesi pembelajaran.

Melihat bagaimana dia mempersiapkan diri, rasa kagum berbekas di hati wartawan BH, kerana tanpa ada sesiapa yang mengawasi, semuanya dibuat dengan teratur dan seawal jam 5 pagi, dia sudah memulakan beberapa solat sunat sebelum mencapai al-Quran untuk proses hafazan.

Begitu juga Ahmad Mun'eim yang kelihatan khusyuk menghayun tubuhnya ke depan dan ke belakang ketika fokus menghafal. Lembaran demi lembaran kitab suci itu diselak mereka sambil mulut terkumat kamit, menimbulkan satu irama mengasyikkan apabila ia bergabung dengan rakan lain.

PELAJAR tahfiz, Muhammad Syakir bangun seawal jam 4 pagi bagi memulakan rutin harian di Maahad Tahfiz al-Quran Mafatihul Ulum, Taman Rasmi Jaya. - Foto Zulfadhli Zulkifli

PELAJAR tahfiz membuat persiapan sarapan pagi mereka yang dihidangkan dalam dulang di Maahad Tahfiz al-Quran Mafatihul Ulum, Taman Rasmi Jaya. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Selesai solat Subuh, mereka bersarapan dan sekali lagi hati kecil ini kagum melihat mereka. Begitu ringan tangan mereka membantu pelajar lain menghidangkan juadah tanpa ada sepatah suara pun. Keadaan sungguh sunyi dan penuh dengan ketenangan.

Begitu juga selepas makan. Dua anak kecil ini jugalah yang membersihkan kawasan Maahad serta menyidai pakaian mereka sendiri. Baju yang sudah kering, dilipat mereka tanpa ada sesiapa yang menyuruhnya.

Rutin pelajar di situ bermula selepas sarapan hingga ke malam. Hanya berhenti rehat untuk tidur seketika mulai jam 11.30 pagi selama sejam untuk mengembalikan kesegaran kepada tubuh.

Setiap kali solat fardu, mereka berjemaah dan turut menikmati hidangan satu talam ketika waktu makan tengahari dan malam.

Tidak perlu ada yang suruh. Setiap kali selesai hafazan, dua anak kecil ini sendiri akan tampil berdepan ustaznya, Ahmad Fuad Abdul Razak, untuk 'menghantar' hafazan.

Itu adalah istilah yang digunakan bagi menceritakan kaedah di mana pelajar perlu memperdengarkan hafazan mereka di hadapan ustaz untuk disahkan ketepatannya.

Kanak-kanak tetap kanak-kanak. Jiwa mereka yang mahu berseronok tetap tidak boleh dipisahkan kerana pada usia semuda itu, nikmat alam kanak-kanak itu tidak boleh dinafikan.

Berikutan itu, apabila selesai kelas pada jam 5.30 petang, mereka berdua antara yang paling aktif berlari ke sana sini bermain bola sepak di padang hadapan maahad.

TENAGA Pengajar, Ustaz Ahmad Fuad Abd Razak. - Foto Zulfadhli Zulkifli

PELAJAR tahfiz, Ahmad Mun'ein, 11, membaca al-Quran pada kelas pagi di Maahad Tahfiz Al-Quran Mafatihul Ulum. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Ahmad Fuad berkata, mereka berdua adalah pelajar bijak yang sangat berdisiplin. Jarang sekali mereka berdua memberikan masalah kepadanya yang turut berperanan sebagai warden di Maahad itu.

"Sebenarnya rumah Syakir hanya satu lorong dengan maahad ini tetapi tidak pernah dia minta untuk balik. Ibu bapanya juga ikut peraturan kami iaitu hanya datang melawat pada Sabtu atau Ahad saja. Mereka berdua ini memang fokus dan mudah membuat hafazan.

"Memulakan hafazan pada usia muda seperti mereka adalah satu kelebihan kerana jiwa masih bersih. Berbeza dengan yang lebih berusia, sudah banyak perkara lain yang dipelajari dan dikenali, membuatkan hafazan menjadi lebih susah.

"Meskipun saya bertindak sebagai penjaga mereka di sini, kebanyakan hal harian diuruskan Syakir dan Ahmad Mun'eim sendiri. Saya sekadar pantau dan pastikan mereka ikut peraturan.

"Talam yang digunakan untuk makan, mereka basuh sendiri. Pakaian lipat sendiri dan bangun tidur juga tak perlu harapkan orang lain kejutkan," katanya.

Apa yang paling dikagumi mengenali dua anak kecil ini ialah disiplin dan adab mereka. Sentiasa menunduk dan hormat dengan sesiapa saja. Ke mana saja mereka melangkah, ketrampilan sebagai seorang yang patuh pada suruhan agama begitu terserlah.

 

Ikuti siri kedua tahfiz dalam BH esok.

Berita Harian X