Rabu, 20 Januari 2016 | 9:49am

Saham Asia jatuh pada awal dagangan

SYDNEY: Pasaran saham Asia jatuh pada awal dagangan berikutan kejatuhan berterusan harga minyak menghapuskan cubaan rali harga di Wall Street.

Harga minyak mentah AS berada di paras terendah sejak 2003 selepas badan pemantauan tenaga dunia memberi amaran pasaran akan "lemas dalam lebihan bekalan."

Dagangan hadapan minyak mentah AS jatuh 49 sen kepada AS$27.97 setong pada awal dagangan, manakala minyak mentah Brent disebut harga pada AS$28.76 satu tong.

Pasaran saham memberi reaksi dengan menyongsang kenaikan pada Selasa, yang disifatkan kenaikan yang jarang-jarang berlaku, manakala indeks meluas MSCI merangkumi saham di Asia-Pasifik kecuali Jepun jatuh 0.3 peratus.

Indeks Nikkei jatuh 0.7 peratus, manakala saham Australia jatuh 0.4 peratus.

Pasaran China menerajui lantunan harga pada Selasa dengan indeks CSI300 menokok 3.0 peratus dan Indeks Komposit Shanghai naik 3.2 peratus.

Rali itu membingungkan ramai pihak selepas mengambil kira berita ekonomi dari China yang tidaklah begitu cemerlang, manakala Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) pula merendahkan ramalan pertumbuhan ekonomi dunia buat kali ketiga dalam tempoh kurang setahun.

Peniaga difahamkan spekulasi dasar rangsangan dasar China sebagai satu daripada alasannya.

Bank pusat China pada lewat Selasa mendedahkan ia akan menyuntik lebih 600 bilion yuan (AS$91.22 bilion) ke dalam sistem perbankan bagi membantu menambah kecairan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina awal bulan depan.

Tetapi, langkah seperti itu kebiasaannya sebelum musim cuti dan akan terhenti sebelum pengurangan nisbah rizab bank sebenar.

Biar apa pun alasannya, rali harga merebak ke Eropah, yang mana indeks serantau FTSEurofirst 300 ditutup 1.37 peratus lebih tinggi pada Selasa.

Wall Street, bagaimanapun, menyaksikan kenaikan awal dipadamkan oleh kejatuhan harga minyak mentah AS.

Dow ditutup naik 0.17 peratus, manakala S&P 500 menambah satu mata dan Nasdaq susut 0.26 peratus.

Sektor tenaga S&P saja jatuh 2.17 peratus.

Harga minyak yang berada di paras terendah 12 tahun menambahkan kebimbangan kejatuhan lanjut dalam syarikat berkaitan tenaga dan risiko sebahagian daripadanya akan gagal membayar balik hutang.

Tom Porcelli, ketua pakar ekonomi di RBC Capital Markets, berkata pungutan suara dalam kalangan pelabur menunjukkan pelabur lebih bearis terhadap Wall Street kali ini berbanding sejak pertengahan 1987.

Bagaimanapun, sejarah menunjukkan sentimen berada dalam kegelapan pahit sebelum fajar menyingsing. - Reuters

Berita Harian X