Rabu, 20 Januari 2016 | 12:40pm

USM cipta alat tukar sisa dapur jadi bahan bakar

GEORGETOWN: Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta alat khas yang mampu menukar sisa buangan dapur kepada karbon yang boleh diguna sebagai bahan api dan baja.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik USM, Prof Dr Zainal Alimuddin Zainal Alauddin, berkata alat dikenali sebagai 'Pengkarbon Sisa Buangan Dapur' itu direka bagi memproses semua jenis bahan buangan organik.

Katanya, sistem pemanasan pada mesin itu mampu menukarkan sisa organik kepada bentuk karbon pada suhu antara 300 hingga 400 darjah Celsius dalam tempoh tiga jam.

"Dalam proses pemanasan itu, 90 peratus kandungan air sisa organik dikeluarkan, seterusnya menukar bahan berkenaan kepada karbon.

"Mesin ini dihasilkan dengan konsep menjimatkan ruang serta mudah digunakan terutama di hotel dan restoran," katanya pada sidang media di USM, pagi tadi.

Beliau yang 20 tahun berpengalaman dalam kajian sisa organik berkata, rekaan itu dapat mengurangkan pembuangan sisa organik ke tapak pelupusan serta ditukarkan kepada produk yang bermanfaat.

Berita Harian X