Rabu, 20 Januari 2016 | 1:48pm

DBKL diminta kaji semula syarat kanopi

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta mengkaji semula syarat yang menghendaki penjaja dan peniaga membeli sekurang-kurangnya satu set kanopi sebelum dibenarkan memperbaharui lesen perniagaan.

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Wilayah Persekutuan, Ong Siang Liang, berkata syarat berkenaan perlu dinilai semula dengan lebih teliti agar pelaksanaannya kelak tidak menyusahkan peniaga yang sebelum ini dibebani kos ketika menguruskan perniagaan.

Katanya, penggunaan kanopi juga kurang sesuai untuk semua jenis perniagaan kerana ada peniaga menjual makanan berminyak, pakaian, buah dan barangan basah, selain air mudah bertakung ketika hujan.

"Sebanyak 97 lokasi tapak pasar malam membabitkan lebih 900 penjaja dan peniaga dijangka terjejas apabila dasar berkenaan dijangka dikuat kuasa hujung bulan ini.

"Kalau boleh, DBKL lebih khusus dalam melaksanakan Program Transformasi dan Penjenamaan Semula Pasar Malam seperti tetapkan petak khemah atau meluaskan tapak pasar malam agar peniaga tidak bergaduh sesama mereka kerana berebut kawasan gerai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili penjaja dan peniaga menghantar memorandum kepada DBKL di sini. Lebih 50 penjaja dan peniaga kecil pasar malam di sekitar Lembah Klang hadir ketika penyerahan memorandum itu.

Mengikut syarat baharu ditetapkan program berkenaan, penjaja dan peniaga dikehendaki membeli sekurang-kurangnya satu set kanopi berwarna kuning seberat 18 kilogram (kg) dengan saiz enam dan lapan kaki persegi sebelum dibenarkan memperbaharui lesen perniagaan.

Siang Liang berkata, peraturan itu tidak sesuai dilaksanakan ketika ini kerana jika diteruskan, peniaga terpaksa menanggung kos untuk membeli dua set kanopi berbeza saiz untuk tempat berniaga berlainan.

Katanya, mereka perlu membayar lebih RM200 bagi setiap kanopi dan ia saiz kanopi juga agak berat untuk dua peniaga memasangnya.

Berita Harian X