Khamis, 21 Januari 2016 | 3:34pm

Dira ceburi politik untuk satukan bangsa

PELAKON, Dira Abu Zahar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON, Dira Abu Zahar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Dihimpit rasa takut dengan perbalahan dalam kalangan bangsa Melayu menjadi pendorong kepada pelakon, Dira Abu Zahar, terjun ke dalam dunia politik untuk menyumbang bakti.

Pemilik nama sebenar Khaidhirah Abu Zahar, 31, mahu menggunakan kedudukannya sebagai EXCO Puteri UMNO bagi menyatukan bangsa Melayu yang dilihatnya semakin berpecah belah.

"Bangsa kita semakin berpecah-belah. Saya takut sebenarnya melihatkan keadaan kepincangan bangsa kita. Generasi muda terutamanya menjadi pelapis untuk masa depan. Maka penting untuk mereka memahami konsep penyatuan sesama bangsa.

"Biarlah berbalah bagaimanapun, kita tetap satu bangsa dan hubungan seperti adik-beradik ini tidak seharusnya putus begitu saja.

"Saya turut terkena tempias apabila banyak pihak memberi komen negatif mengenai pengumuman pelantikan saya sebagai EXCO Puteri UMNO. Secara tiba-tiba ada pihak yang mencaci dan mengeji saya tanpa sebab yang munasabah.

"Benar, saya terbuka untuk menerima kritikan membina, namun biarlah ia berasas dan disertakan dengan cadangan penyelesaian kepada masalah yang dibangkitkan. Ada sesetengah pihak yang marah dan mengeji tanpa sebarang motif," katanya kepada BH Online.

Dira yang diberikan amanah untuk menerajui bahagian sayap parti UMNO itu merancang untuk menggerakkan aktiviti politik santai dan menerapkan elemen seni kepada golongan wanita muda.

"Semestinya saya merujuk kepada pihak yang lebih arif mengenai perkara ini. Namun, saya ingin menarik minat belia untuk menanam kepercayaan kembali kepada UMNO seperti sebelum ini.

"Walaupun saya bukanlah muda remaja lagi, namun saya berharap dapat mendekati generasi baharu dengan lebih dekat lagi. Saya ingin mendengar pendapat dan luahan hati mereka serta turut sama mencari jalan penyelesaian," tegas Dira.

Dira berkata, masyarakat kini lebih bertuah kerana mudah untuk mendekati pemimpin negara menggunakan medium media sosial dan peluang ini sewajarnya dimanfaatkan untuk mereka memberikan pendapat secara terus dan tertib.

"Lebih mudah untuk memberi cadangan dan kritikan membina menggunakan media sosial. Teknologi masa kini membolehkan orang ramai menghantar mesej terus kepada pemimpin. Sekarang, lebih mudah untuk berkomunikasi dengan pemimpin berbanding dulu.

"Bagi saya tidak relevan untuk mengadakan demonstrasi dan sebagainya kerana ia hanya membazirkan tenaga semata-mata. Kenapa perlu menyusahkan diri dan terbabit dengan masalah? Gunakanlah medium yang betul bagi menyuarakan hasrat yang terbuku di dada," katanya.

Berita Harian X