Khamis, 21 Januari 2016 | 10:43pm

Stadium Sultan Muhammad IV dinaik taraf

KERJA-KERJA membaik pulih Stadium Sultan Muhammad IV. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Semua kemudahan dalam Stadium Sultan Muhammad IV yang cukup daif akan dibaik pulih serta berwajah baharu bagi memberi keselesaan kepada penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

  

Tinjauan BH di bahagian dalam stadium berusia 49 tahun itu mendapati tandas penyokong di 10 pintu gerbang agak uzur dan tidak berfungsi dengan baik selain kotor seolah-olah sudah lama tidak dibersihkan.

  

Malah, 10 tandas yang ditempatkan di sebelah laluan masuk tidak memberi keselesaan kepada pengguna wanita kerana tidak mempunyai papan tanda untuk lelaki atau wanita, selain agak terbuka untuk orang ramai lalu lalang.

  

Seorang penyokong Kelantan, Raja Rusmin Raja Mahmud, 53, berkata setiap kali ke stadium, beliau terpaksa menahan daripada membuang air kerana kemudahan yang ada kurang selesa dan tidak diselenggarakan dengan baik.

  

"Berbau busuk serta agak kotor dan kadang-kadang air paip agak perlahan. Pada masa sama, tempat tandas sangat terbuka di laluan masuk penyokong menyebabkan saya kurang selesa jika mahu menggunakan kemudahan itu.

 

"Kalau penyokong lelaki mungkin boleh terima, tapi bagi saya agak sukar dan tidak akan menggunakan tandas berkenaan. Jadi, diharap dengan pembaharuan penaja Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) akan menitikberatkan kemudahan ini untuk keselesaan kepada semua penyokong.

 

"Saya lihat kesungguhan Dr Vida (Datuk Seri Dr Hasmiza Othman) untuk mengubah stadium sangat bagus dan pasti lebih ramai lagi penyokong tertarik untuk mengunjungi stadium terutamanya pelancong," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pengunjung, Wan Mohd Zulhasmi Wan Abdullah, 33, berkata surau untuk kemudahan penyokong juga tidak disediakan dan mereka perlu menunaikan solat di luar stadium sebelum menyaksikan perlawanan bola sepak.

 

"Kebiasaannya perlawanan bermula jam 8.45 malam dan penyokong sudah memenuhi stadium seawal jam 8 malam. Cuma tempat solat hanya disediakan di luar stadium dan ruangnya agak sempit menyebabkan kami terpaksa solat di tempat lain.

 

"Namun, jika lewat ke stadium, tempat letak kereta pula sukar diperoleh. Selain itu, longkang di tempat hadapan penyokong duduk bahagian bawah juga selalu bertakung dan berbau terutamanya pada musim hujan," katanya.

 

Wan Mohd Zulhasmi berkata, pagar keselamatan di bahagian atas tempat penyokong duduk juga agak berbahaya kerana ia agak rendah.

 

"Setahu saya tiada lagi kes, tapi ia agak berbahaya terutamanya apabila penyokong terlalu 'ghairah' memberi sokongan di bahagian atas. Kita tidak mahu selepas berlaku perkara tidak diingini baru hendak ambil tindakan," katanya.

 

Dalam pada itu, Dr Vida ketika ditemui selepas melawat kawasan stadium berkenaan berkata, semua prasarana akan dibaik pulih dan perbincangan lanjut akan diadakan bersama Menteri Besar, esok.

 

"Saya mahu lakukan yang terbaik dan memberi keselesaan kepada penyokong supaya lebih ramai hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV. Buat masa ini kerja pembersihan dan mengecat lapisan pertama sedang giat dilakukan untuk membuang cat lama.

 

"Kita harap kerja mengecat ini dapat disiapkan sebelum sepak mula Liga Super 2016 pada 14 Februari ini," katanya.

Berita Harian X