Khamis, 21 Januari 2016 | 11:30pm

SC luluskan cadangan IPO Pecca

KUALA LUMPUR: Pecca Group Bhd mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi meneruskan cadangan Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Pasaran Utama, Bursa Malaysia Securities Bhd.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Teoh Hwa Cheng, berkata cadangan penyenaraian itu akan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pembekal upholsteri kulit tempat duduk kereta terbesar untuk pengeluar peralatan tulen (OEM).

Katanya, ia bagi segmen kereta penumpang di Malaysia dengan bahagian pasaran sebanyak 57.8 peratus pada 2013.

"Cadangan penyenaraian itu akan turut mengukuhkan lagi kehadiran kami dalam pasaran di Thailand," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Cadangan IPO Pecca itu akan membabitkan tawaran jualan sebanyak 43.33 juta saham sedia ada serta terbitan awam sebanyak 47.80 juta saham baharu.

Modal saham terbitan dan berbayar syarikat itu berjumlah 188 juta saham.

Pecca dan unitnya secara asasnya terbabit dalam aspek penataan gaya, pembuatan, pengedaran dan pemasangan upholsteri kulit bagi pelapik tempat duduk kereta serta pengedaran potongan atau perca kulit bagi industri upholsteri kulit automotif.

Kumpulan Pecca ketika ini memiliki kapasiti pengeluaran bulanan kira-kira 10,000 set tempat duduk kulit bagi pelanggan segmen pasaran OEM atau lebih dikenali sebagai pengeluar tempat duduk kereta Peringkat 1.

Syarikat itu turut menghasilkan pelapik tempat duduk 'Smart Fit' dan 'Quick Fit', yang boleh dipasang terus. - BERNAMA

29 dibaca
Berita Harian X