Khamis, 21 Januari 2016 | 11:35pm

Syafiq Kyle, Uqasha tidak bermasam muka

PELAKON, Syafiq Kyle dan Uqasha Senrose.
PELAKON, Syafiq Kyle dan Uqasha Senrose.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Syafiq Kyle, 24, mengakui masih berkawan dengan aktres jelita yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini, Uqasha Senrose, 24

Katanya, beliau bersikap profesional dan sesekali tidak akan menolak sekiranya ditakdirkan perlu bekerjasama dengan pelakon wanita berkenaan pada masa depan.

Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak bagaimanapun berkata, beliau enggan dikaitkan dengan kisah lalu bagi menjaga hati keluarganya.

Bagi pemuda ini, fokus utamanya kini adalah merencana perkembangan kerjaya seni.

"Kalau boleh, saya enggan lagi bercerita mengenai kisah lalu kerana ibu bapa turut terkena tempiasnya jika timbul sebarang kontroversi membabitkan saya.

"Saya masih berkawan dengan Uqasha, namun hubungan kami tidak lagi akrab seperti dulu. Lagipun, industri seni kita kecil saja dan tidak manis untuk kami bermasam muka.

"Pada masa sama, saya meminta jasa baik semua pihak untuk tidak lagi mengaitkan nama saya dengan Uqasha kerana kami selesa menjalani kehidupan masing-masing," tegasnya kepada BH Online ketika berkunjung ke Balai Berita, hari ini.

Syafiq berkata, beliau menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran untuk memperbaiki kelemahan diri.

Beliau mengambil iktibar dan menggunakan pendekatan berhadapan dengan permasalahan yang mendatang dengan lebih matang.

Pelakon ini juga tidak menagih populariti tanpa produk mahupun hanya bersandarkan pada publisiti murahan semata-mata.

"Saya tidak mengejar populariti. Biarlah kemasyhuran itu datang seiring dengan produk dan bukan hanya bergantung pada kontroversi semata-mata. Kisah lalu banyak mengajar saya untuk menjadi seorang yang lebih matang.

"Kepercayaan ibu bapa saya menjadi pegangan untuk saya tidak terpesong lagi. Saya berkecimpung dalam bidang seni ini pun untuk bekerja dan saya tidak boleh lari daripada fokus itu lagi," kata Syafiq.

Sekitar Mac tahun lalu, Syafiq dituduh sebagai lelaki panas baran apabila beliau dikatakan memukul Uqasha , yang seterusnya menjadi punca perpisahan mereka.

Begitupun, pelakon muda ini tampil menafikan dakwaan terbabit, selain menganggap gosip berkenaan sebagai mengarut.

Dalam perkembangan terkini, Syafiq diberi kepercayaan menjadi teraju utama bersama-sama bakat baharu, Azira Shafinaz, dalam drama bersiri, Married Tapi Benci, karya Ahmad Idham. Ia bakal menemui penonton menerusi saluran TV3.

Berita Harian X