Jumaat, 22 Januari 2016 | 9:31am

Pelancongan kesihatan terus positif di sebalik kelembapan ekonomi


SUBRAMANIAM (tengah) merasmikan Pesta Perpaduan Ponggal 2016 di Dewan Persatuan India Kinta, Ipoh, malam tadi. - Foto Mohd Nazrulaswad

IPOH: Kelembapan ekonomi tidak menjejaskan kehadiran pelancong kesihatan di negara ini, sebaliknya terus berkembang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata berdasarkan laporan Majlis Pengembaraan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), kira-kira 800,000 pelancong menerima rawatan kesihatan di negara ini pada tahun 2014 dengan pulangan pendapatan sekitar RM777 juta.

"Untuk tahun lalu, walaupun tidak sampai unjuran yang dibuat, kedatangan pelancong kesihatan ke Malaysia tetap meningkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Perpaduan Ponggal 2016 di sini, malam tadi.

Statistik kedatangan pelancong kesihatan untuk tahun 2015 hanya akan dikeluarkan secara rasmi pada Mac depan.

Dr Subramaniam mengulas laporan laman web 'International Living' yang menyenaraikan empat negara iaitu Malaysia, Colombia, Costa Rica dan Panama yang mempunyai penjagaan kesihatan terbaik di dunia.

Dalam laporan bertajuk 'Four Countries With The Best Healthcare in The World' yang diterbitkan pada Selasa lalu, Malaysia diletakkan di tangga pertama sebagai destinasi pelancongan kesihatan yang berkembang pesat.

Menjelas lanjut, Dr Subramaniam berkata kos rawatan yang rendah di samping perkhidmatan berkualiti berbanding negara lain adalah daya tarikan utama pelancong perubatan ke Malaysia.

Katanya, ketika ini, pihaknya giat menjalankan promosi di Asia Barat memandangkan budaya yang dimiliki oleh Malaysia dengan negara di rantau berkenaan hampir sama.

"Contohnya, ramai pesakit dari Arab Saudi atau Qatar pergi ke Thailand sedangkan di negara kita budaya dan beberapa perkara sesuai dengan mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata kementerian mempunyai bekalan vaksin bagi penyakit polio dan batuk kokol (pertussis) yang mencukupi untuk diberikan kepada kanak-kanak di negara ini walaupun ada masalah bekalan di peringkat global.

"Kita (kementerian) sudah berbincang dengan beberapa syarikat berkaitan isu itu. Untuk jangka masa pendek, masalah ini telah berjaya diselesaikan.

"Ada masalah bekalan di peringkat global dan kita mencuba sebaik mungkin untuk menangani masalah ini," katanya. - BERNAMA

35 dibaca
Berita Harian X