Jumaat, 22 Januari 2016 | 12:30pm

Nazim, Bella bertunang November tahun lalu

NAZIM dan Bella bertunang pada 14 November tahun lalu. - Foto Instagram
NAZIM dan Bella bertunang pada 14 November tahun lalu. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon, Nazim Othman, 31, dan Bella Dally, 25, selamat melangsungkan pertunangan pada 14 November tahun lalu di Kota Kinabalu, Sabah.

   Kedua-duanya memutuskan untuk mengikat tali pertunangan selepas berkawan rapat sejak 2013.

   Majlis terbabit bagaimanapun diadakan secara sederhana dengan dihadiri keluarga dan rakan terdekat.

   Menurut Bella atau nama sebenarnya Nabila Ali Dally, beliau tidak menghebahkan majlis berkenaan kerana ia hanyalah acara kecil-kecilan untuk keluarga dan teman rapat.

"Saya bukan sengaja hendak merahsiakannya, apatah lagi ia hanyalah majlis bertunang. Insya-Allah bagi majlis pernikahan nanti, berita gembira itu akan dikongsi bersama.

   "Sebenarnya, tarikh nikah pun belum ditetapkan lagi dan ia masih dalam perbincangan," katanya.

   Kata pelakon terbabit, jika semuanya mengikut perancangan, mereka akan disatukan sebagai suami-isteri pada tahun ini juga.

   Pelakon kelahiran Negeri Di Bawah Bayu itu menyifatkan Nazim sebagai lelaki sangat memahami dan mereka selesa bersama.

   Mula rapat sekitar tiga tahun lalu, namun begitu pasangan ini pernah berpisah seketika pada 2014. Tahun lalu, cinta yang terjalin akhirnya bersambung semula.

Berita Harian X