Rabu, 15 Oktober 2014 | 11:18am

Pilih produk standard dan berkualiti - MCMC

CYBERJAYA: Barangan yang tidak mematuhi standard atau produk komunikasi yang tidak mempunyai label pensijilan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dianggap sebagai produk 'tidak standard' di Malaysia.

Pengerusi MCMC, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, berkata tanpa label MCMC atau tanda pensijilan daripada badan pensijilan yang diakreditasi oleh Standards Malaysia, barangan itu mungkin tidak selamat, tidak boleh dipercayai dan mungkin juga menyalahi undang-undang jika digunakan di negara ini.

"Sebagai contoh, pemancar AV tanpa wayar atau router tidak standard yang dijual dalam talian pada harga murah. Tidak ramai yang menyedari bahawa peranti itu boleh mengganggu peranti standard lain yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar, menyebabkan masalah kepada pengguna dan penyedia perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan di sini sempena Hari Standard Sedunia yang disambut pada 14 Oktober setiap tahun.

Sharil berkata, pengguna mesti bijak ketika membeli, tetapi pada masa yang sama, MCMC ingin menggesa semua penjual supaya bertanggungjawab.

Mereka harus mengikuti prosedur dan mendapatkan pensijilan yang diperlukan bagi membolehkan produk mereka dijual di Malaysia. Ia adalah situasi menang-menang untuk kedua-dua pengguna dan penjual, tambahnya.

MCMC, badan pengawal selia bagi sektor komunikasi, telah menguatkuasakan 10 Standard Mandatori dan 24 Kod Teknikal yang dibangunkan berdasarkan standard kebangsaan dan antarabangsa yang berkaitan.

Standard bertujuan mengawal selia kualiti perkhidmatan komunikasi dan memastikan keselamatan dan prestasi produk komunikasi. Keselamatan dan kualiti yang menepati standard adalah kunci kepada pengekalan dan peningkatan gaya hidup rakyat.

"Melalui standard dan pematuhan, kami boleh memastikan pihak industri menyediakan produk dan perkhidmatan yang selamat, sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai," katanya.

Ketua Pengarah Standards Malaysia, Datuk Fadilah Baharin, berkata semua produk mandatori seperti mainan kanak-kanak, topi keledar, perkakas rumah, bar keluli untuk pembinaan dan sistem keselamatan kenderaan perlu melalui beberapa siri ujian dan pensijilan untuk membuktikan produk berkenaan selamat untuk digunakan.

Setakat ini, Standards Malaysia sudah membangunkan lebih daripada 6,500 standard di seluruh 24 sektor ekonomi. Standards Malaysia juga telah mengiktiraf 501 makmal untuk beberapa jenis ujian dan penentukuran; dan 24 badan pensijilan untuk pelbagai sistem pengurusan dan pensijilan produk; berdasarkan standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Berita Harian X