Jumaat, 22 Januari 2016 | 4:23pm
PENYANYI, Dayang Nurfaizah menyanyikan lagu "Tak Pernah Menyerah" lirik oleh Poji Samad dan Komposer oleh Akid pada pusingan separuh akhir ketiga Muzik-Muzik 30 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - Foto Ghazali Kori

Dayang akui sukar kekalkan trofi vokal terbaik

PENYANYI, Dayang Nurfaizah. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Pemenang Anugerah Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29, Dayang Nurfaizah, mengakui bukan tugas mudah untuk beliau mengekalkan kemenangan pada saingan tahun ini.

Beliau berkata, beberapa finalis bakat baharu dilihat berhempas pulas untuk memberikan persembahan terbaik, terutamanya daripada aspek mutu vokal masing-masing.

"Saya lihat, setiap finalis yang bersaing pada AJL30, Ahad ini, bersungguh-sungguh dalam memastikan mereka dapat menghasilkan persembahan terbaik. Rata-ratanya turut memberikan tumpuan pada aspek vokal.

"Tidak kiralah penyanyi lama atau baharu, bagi saya, masing-masing punyai peluang untuk merebut gelaran Vokal Terbaik," katanya kepada BH Online.

Diminta mengulas mengenai pandangan ramai yang berasakan dirinya sekali berpeluang mengungguli kategori itu, Dayang mengaku beliau takut mengenangkan hal terbabit. Pada masa sama dirinya berasakan bagai ada bebanan berat yang harus dipikulnya kali ini.

Namun begitu, situasi berkenaan turut menjadi motivasi untuknya memberikan persembahan terbaik pada malam kemuncak nanti apabila muncul mempersembahkan lagu, Tak Pernah Menyerah, ciptaan Akid dan Poji Samad.

"Bagi saya, paling penting adalah untuk tampil di pentas dan memberikan yang terbaik pada malam kemuncak. Susunan muzik juga sudah dilakukan dan saya mahu memberikan 'mood' seperti nyanyian dalam sebuah konsert," katanya.

Kata Dayang juga, persaingan daripada penyanyi muda dan artis yang julung kali menyertai AJL tidak kurang hebat.

"Apa yang saya nampak, vokal mereka semakin baik dan lebih kemas kali ini. Black, sebagai contoh, semakin menampakkan peningkatan. Persembahan Stacy pula sentiasa memukau.

"Apabila melihat persembahan mereka, semangat saya semakin membuak-buak untuk memberikan persaingan dan nyanyian terbaik," katanya.

Bagi Dayang, kemenangan bukanlah soal utama. Baginya, perkara lebih penting adalah persembahannya diingati dan disebut peminat selepas turun daripada pentas.

Pada AJL lalu, barisan 10 juri yang diketuai Azmeer memilih Dayang sebagai pemenang Vokal Terbaik dan dirinya dilabel sebagai penyanyi 'pitch perfect'. Lagu dendangannya, Di Pintu Syurga, ciptaan Tam Spider dan Iman Imran pula memenangi tempat ketiga.

"Dayang memang bagus dan berjaya melontarkan vokal dengan kawalan sempurna, termasuk pada beberapa bahagian nota yang sukar. Beliau berada pada tahap markah 99.9 peratus dan menyanyi dengan bagus mencecah lapan hingga 12 bar paras nota muzik," kata Azmeer.

Berita Harian X