Jumaat, 22 Januari 2016 | 6:58pm

Cradle rancang pelaburan langsung dalam syarikat teknologi

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan merancang membuat pelaburan secara langsung dalam syarikat teknologi bermula tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nazrin Hassan, berkata sebelum ini firma dana modal teroka itu membuat pelaburan secara bersama dalam firma teknologi yang dikenal pasti berdaya maju.

Beliau berkata, cadangan baharu itu adalah antara usahanya untuk meraih peluang pelaburan lebih efektif dan mampu memberi pulangan lumayan bagi membantu usahawan teknologi tempatan.

Tahun ini, Cradle menerima sejumlah RM30 juta di bawah dana peringkat awal untuk disalurkan kepada syarikat yang terbabit dalam teknologi di negara ini.

"Menerusi peruntukan itu, antara program baharu yang kita ingin ceburi adalah program pelaburan langsung.

"Sekarang ini, kita sudah mempunyai pelaburan bersama, tetapi buat masa ini Cradle tidak boleh melakukan pelaburan secara terus.

"Justeru, pada tahun ini, kita akan cuba mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Kewangan untuk membuat program berkenaan supaya mampu mendapatkan peluang pelaburan lebih baik," katanya selepas mengumumkan perkongsian strategik Cradle dengan VLT Labs Sdn Bhd (VLT Labs) bagi program CIP, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden CIP Catalyst Cradle, Xelia Tong serta Pengasas Bersama dan Pengarah VLT Labs, Izwan Ismail.

Menerusi perkongsian itu, VLT Labs dilantik sebagai vendor dan pembekal perkhidmatan untuk perniagaan, reka bentuk produk dan pembangunan bagi agensi yang terbabit dalam Program CIP Cradle.

Nazrin berkata, setakat ini, Cradle mencatatkan prestasi membanggakan dari tahun ke tahun sejak penubuhannya.

"Dalam tempoh 13 tahun penubuhan, Cradle sudah mencatat kadar pengkomersialan sebanyak 63 peratus, tertinggi dalam agensi pemberian geran kerajaan di Malaysia, selain antara tertinggi di rantau ini," katanya.

Berita Harian X