Sabtu, 23 Januari 2016 | 4:19pm

Polis cari pemandu BMW rempuh penganut Hindu


KERETA BMW yang dipercayai merempuh enam penganut Hindu sehingga menyebabkan tiga maut dan tiga parah di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran susur keluar ke Desa Petaling, pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Polis mencari seorang lelaki, Seng Guan Chuan, dipercayai pemandu kereta BMW bagi membantu siasatan kemalangan yang menyebabkan tiga lelaki maut dan tiga parah di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran susur keluar ke Desa Petaling, pagi tadi.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan, berkata lelaki berusia 20-an itu belum tampil di mana-mana balai polis membuat laporan berhubung kejadian itu.

"Selepas melanggar enam mangsa, pemandu tidak memberhentikan keretanya, sebaliknya melarikan diri.

"Kereta itu kemudian ditinggalkan di lorong kecemasan di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan pemandunya menghilangkan diri," katanya pada sidang media sebentar tadi.

Markandan berkata, identiti pemandu itu dikenal pasti menerusi semakan nombor pendaftaran kereta berkenaan.


S Markandan (kanan) meminta orang ramai tampil sekiranya mempunyai maklumat mengenai kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran susur keluar ke Desa Petaling, pagi tadi.

Kereta itu didaftarkan atas nama ibu lelaki berkenaan.

"Kita menghubungi ibunya yang tinggal di Jelutong, Pulau Pinang dan wanita itu memberitahu kereta itu dipandu anak lelakinya yang tinggal di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, dia enggan bekerjasama dengan lebih lanjut," katanya lagi.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zaki Wahab di talian 012-8778620 atau Bilik Gerakan Trafik Kuala Lumpur (03-2071999).

Dalam kemalangan jam 8 pagi itu, K Saravanan, 45; S Papa, 63; dan C Kannan, 50, maut di tempat kejadian, manakala rakan mereka, P Megaswaran, 40; D Darrshen, 18, dan seorang lagi wanita belum dapat dipastikan identitinya.

Mangsa yang berjalan di lorong kecemasan dirempuh kereta BMW dari pusat bandar menghala Seremban.

Mereka antara 45 penganut Hindu yang mahu menunaikan nazar dengan berjalan bermula Khamis lalu dari Seremban menuju Batu Caves sempena perayaan Thaipusam, esok.


TIGA penganut hindu yang berjalan dari Senawang ke Batu Caves untuk sambutan Thaipusam, maut dirempuh kereta di Lebuh Raya Seremban-Kuala Lumpur berhampiran susur keluar ke Desa Petaling, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

Berita Harian X