Ahad, 24 Januari 2016 | 2:50pm

TMJ ucap terima kasih atas kurniaan dana, bina stadium baharu

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih kepada ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kerana keprihatinan baginda mengurniakan dana bagi pembinaan stadium baharu dan Bandar Sukan JDT.

Penghargaan itu disuarakan Tunku Ismail yang juga Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers di Facebook (FB), sebentar tadi, selain menyifatkan sokongan Sultan Ibrahim dan penyokong JDT membolehkan misi, visi dan cita-cita JDT tercapai.

"Saya bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan dan rezeki yang dilimpahkan kepada kelab bola sepak JDT dan negeri Johor Darul Ta'zim.

"Kedua, saya ingin menjunjung setinggi-tinggi kasih atas kurnia dan keprihatinan Tuanku untuk memberikan dana kepada kelab bola sepak JDT membina stadium baharu dan juga projek JDT Sports City," katanya.

Dalam entri itu juga, Tunku Ismail berkata: "Menariknya, sebuah syarikat besar yang akan membina stadium itu menyampaikan kepada kami projek pembinaan stadium ini boleh disiapkan dalam masa satu tahun setengah.

"Saya juga akan mengadakan majlis upacara pecah tanah bagi pembinaan stadium ini pada Sabtu ini, 30 Januari 2016 bersama-sama penyokong Harimau Selatan kerana kelab bola sepak ini adalah milik penyokong JDT".

Di akhir kenyataannya, Tunku Ismail bersyukur atas rezeki diberikan itu kerana JDT kini berada di kelasnya tersendiri dengan menyebut 'Allah Peliharakan Sultan, Kepada Allah Kami Berserah'.

Semalam, Sultan Johor berkenan mengurniakan dana bagi pembiayaan stadium baharu di negeri ini, selain 28 hektar tanah pemberian Kerajaan Johor untuk dijadikan Bandar Sukan JDT.

Perkara itu dikongsikan Presiden PBNJ, Datuk Ismail Karim, menerusi laman Facebook pasukan JDT, Johor Southern Tigers.

Berita Harian X