Ahad, 24 Januari 2016 | 5:41pm

Majlis pecah tanah stadium baharu Johor Sabtu ini

JOHOR BAHRU: Majlis pecah tanah pembinaan stadium baharu Johor akan diadakan pada Sabtu ini, umum pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Baginda berkongsi perkembangan itu menerusi kiriman terbaharu pada akaun Facebook pasukan JDT, Johor Southern Tigers, hari ini.

Pembinaan stadium baharu Johor itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim semalam menerusi laman Facebook pasukan JDT itu.

Tunku Ismail yang juga Penaung Diraja PBNJ, berkata stadium berkenaan akan dimajukan oleh sebuah syarikat besar dengan tempoh pembinaannya selama satu tahun setengah.

 

"Menariknya, sebuah syarikat besar yang akan membina stadium tersebut menyampaikan kepada kami, bahawa projek pembinaan stadium ini boleh disiapkan dalam masa satu tahun setengah.

 

"Saya juga akan mengadakan majlis upacara pecah tanah bagi pembinaan stadium ini pada hari Sabtu ini, 30 Januari 2016 bersama-sama penyokong Harimau Selatan kerana kelab bola sepak ini adalah milik penyokong JDT," katanya.

 

Semalam, JDT dilaporkan bakal mendapat stadium baharu tidak lama lagi selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memberi perkenan mengurniakan dana untuk pembiayaan stadium berkenaan.

 

Maklumat itu disiarkan oleh Ismail menerusi akaun Facebook Johor Southern Tigers.

Selain itu, beliau juga menyatakan kerajaan negeri turut memberi tanah seluas 28 hektar untuk mewujudkan Bandar Sukan JDT.

Tunku Ismail turut menjunjung setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada ayahandanya, Sultan Ibrahim kerana keprihatinan baginda mengurniakan dana bagi pembinaan stadium baharu dan Bandar Sukan JDT.

 

Baginda turut menyifatkan tanpa sokongan Sultan Ibrahim dan penyokong JDT ia tidak akan membolehkan misi, visi dan cita-cita JDT tercapai.

 

"Saya bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan dan rezeki yang dilimpahkan kepada kelab bola sepak JDT dan negeri Johor Darul Ta'zim.

 

"Kedua, saya ingin menjunjung setinggi-tinggi kasih Kebawah Duli Tuanku di atas kurnia dan keprihatinan Tuanku untuk memberikan dana kepada kelab bolasepak JDT untuk membina stadium baru dan juga projek JDT Sports City," katanya.

 

Berita Harian X