Ahad, 24 Januari 2016 | 6:00pm
JAMES Rodriguez.

Rodriguez ganti Bale jumpa Betis esok

MADRID: James Rodriguez bakal mengisi tempat ditinggalkan Gareth Bale untuk aksi Real Madrid menentang Real Betis, awal pagi esok selepas tonggak antarabangsa Wales itu dihimpit masalah kecederaan betis.

Bale ditimpa kecederaan sama ketika menjulang Real menang, 5-1 ke atas Sporting Gijon, hujung minggu lalu.

Pengendali Real, Zinadine Zidane, yang bakal mengetuai pasukan dalam perlawanan ketiga di bawah kendaliannya, menjelaskan Rodriguez sudah bersedia untuk mengisi kekosongan itu.

"Kita akan lihat nanti tetapi dia mengharungi minggu yang cukup baik ketika latihan seperti pemain lain.

"Saya gembira dengan apa yang dia lakukan dan dia sudah bekerja keras. Kita tahu khidmatnya cukup penting buat pasukan. Dia sudah bersedia untuk beraksi," kata Zidane atau Zizou.

Malah, Zidane juga menafikan dakwaan Rodriguez kurang cergas kerana minatnya bersosial pada waktu malam di ibu negara Sepanyol itu.

"Abaikan apa saja khabar angin. Dia beritahu saya yang dia berehat dan paling penting sekarang adalah fokus terhadap perlawanan ini." - AGENSI

Berita Harian X