Ahad, 24 Januari 2016 | 11:28pm

AJL: Ahmad Othman, Eow Jin terima trofi khas

PENGERUSI Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri FD Iskandar (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Khas kepada Datuk Ooi Eow Jin (kanan) dan Tan Sri Ahmad Othman Merican (kiri) pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) 30 di Stadium Malawati Shah Alam. Turut kelihatan, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid. - Foto Asyraf Hamzah
PENGERUSI Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri FD Iskandar (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Khas kepada Datuk Ooi Eow Jin (kanan) dan Tan Sri Ahmad Othman Merican (kiri) pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) 30 di Stadium Malawati Shah Alam. Turut kelihatan, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid. - Foto Asyraf Hamzah

SHAH ALAM: Dua ikon seni yang bertanggungjawab memperkenalkan Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu (AJL), Tan Sri Ahmad Othman Merican dan Datuk Ooi Eow Jin, yang mencipta lagu tema program muzik popular ini dianugerahkan trofi khas AJL ke-30 di sini, malam ini.

Sumbangan besar Ahmad Othman dan Eow Jin dalam merealisasikan program hiburan yang mengiktiraf pengkarya di sebalik sesebuah lagu sejak tahun 1986, tidak dilupakan TV3.

Disiarkan secara langsung dari Stadium Malawati di sini, anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri FD Iskandar.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid.

Sementara itu, persembahan selingan antara 12 lagu yang dipertandingkan pada malam kemuncak yang bertemakan Tiga Dekad Mencipta Fenomena turut menyoroti dendangan yang juga pemenang edisi terdahulu.

Gandingan Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah dan Yasin Sulaiman yang muncul dalam persembahan pembukaan mendapat sorakan gemuruh kira-kira 3,000 penonton.

Mereka membawakan tiga dendangan yang disampaikan penuh  bertenaga  iaitu Cindai (1998), Ghazal Untuk Rabiah (1997) serta Mimpi Laila (2001) dengan diiringi  50  penari latar.

AJL30 terus mengimbas nostalgia lalu dengan memilih lagu balada yang diperdengarkan Hafiz Suib bersama Jaclyn Victor termasuk juara AJL pertama pada tahun 1986, Sekadar Di Pinggiran.

Antara lagu lain ialah Menaruh Harapan, Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Gemilang dan Awan Nano sebelum pentas dihangatkan pemenang AJL genre rock yang menyaksikan paduan vokal Rahmad Mega dan Azlan Typewriter.

Lagu yang bertanding dalam AJL 30 pula adalah Malam Ini Kita Punya ciptaan sepenuhnya Sam Bunkface yang dinyanyikan Bunkface; Angin Kencang (Noh Salleh) dan Assalamualaikum (Faizal Tahir/Mike Chan/Omar K/Ezra Kong/Audi Mok).

Finalis lain, Bukan Hal Aku (Kaka Azraff/Alif/The Good Fellas), Sampai Mati (Hazama/Omar K/Audi Mok), Hanya Namamu (Caliph Buskers/Edry Abdul Halim), Knock Knock (Elizabeth Tan/Faizal Tahir/Mike Chan) serta Biarkanlah (Drama Band/Aepul Roza/Ammar Habir/Daus Srk/Faeez Halim).

Turut bertanding karya ciptaan Mike Chan, Omar Kingdom dan Altimet berjudul Not For Sale nyanyian  Stacy selain Mana Mungkin (Black/Ajai), Potret (Akim&The Majistret/Hang Nadim/Kamar Empayar) dan Tak Pernah Menyerah (Dayang Nurfaizah/Akid/Poji Samad).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X