Isnin, 25 Januari 2016 | 3:37pm

AJL30: Anugerah Milenia milik Akim, Hazama

PEMENANG Anugerah Milenia, Hazama dan Akim Ahmad.

KUALA LUMPUR: Penaja utama Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30, Pamoga Qu Puteh, membuat kejutan malam tadi apabila mewujudkan Anugerah Milenia yang diberikan kepada Hazama dan Akim Ahmad.

Kedua-dua penyanyi terbabit membawa pulang RM6,000 seorang hasil persembahan menerusi lagu Sampai Mati dan Potret.

Akim bersama The Majistret sebelum itu diumumkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik yang membolehkan mereka memenangi RM12,000 dan pemenang Juara Lagu (RM50,000).

Anugerah Milenia diumumkan secara spontan oleh Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Dr Vida pada sidang media selepas edisi ke-30 AJL berakhir di Stadium Malawati, Shah Alam.

"Sebagai penaja, kalau saya suka mana-mana bakat peserta, pasti saya akan memaklumkannya. Jadi, saya berbesar hati untuk mewujudkan anugerah ini.

"Asalnya saya lihat lagu Sampai Mati dendangan Hazama cukup meruntun jiwa. Bagaimanapun, lagu Potret juga tidak ketinggalan membelai jiwa dan menusuk ke hati saya. Tahniah kepada pemenang," katanya.

Sementara itu, Azmeer yang bertindak sebagai ketua juri AJL30 menjelaskan, kekuatan Potret dari segi melodi dan lirik membolehkannya muncul sebagai juara.

"Potret pada saya sangat kompleks, tetapi mempunyai nilai komersial yang tinggi. Liriknya sangat nyata dan indah. Ia antara sebab mengapa lagu ini layak diangkat sebagai Juara Lagu.

"Malah, kalau dilihat dari segi penerimaan pendengar juga, ia cukup hebat. Dari situ juga kita sedar, lagu ini mempunyai susunan muzik yang baik.

"Malah, Akim mempersembahkannya dengan cukup dramatik. Dia berhenti seketika sekitar 10 hingga 15 saat sebelum menyambung semula dengan bahagian bernada tinggi.

"Sejujurnya, bukan perkara mudah untuk berhenti dan kemudian mencapai nada tinggi pada satu masa. Akim berjaya menambah elemen kejutan dan dramatik," katanya.

Ditanya mengenai lagu Assalamualaikum yang menduduki tempat kedua selepas ia diramal banyak mampu muncul juara, Azmeer menyatakan karya berkenaan hanya tewas tipis kepada Potret.

"Assalamualaikum mempunyai mesej bersifat sejagat dan tidak kurang hebatnya. Lagu itu memiliki keistimewaan tersendiri, termasuk melodi yang baik. Bagaimanapun, Potret dari awal hingga akhir menunjukkan perkembangan yang baik," kata Azmeer.

Mengenai kategori Vokal Terbaik dimenangi Dayang Nurfaizah buat tahun kedua berturut-turut, Azmeer menyifatkan penyanyi itu memang layak menggenggam anugerah berkenaan.

"Vokalnya ketika menyampaikan lagu Tak Pernah Menyerah cukup sempurna dan saya boleh katakan sebagai 'pitch perfect'. Mainan vokalnya juga sangat baik.

"Penyanyi lain yang mahu bersaing perlu ada elemen seperti yang diketengahkan oleh Dayang. Selain beliau, ada beberapa finalis seperti Black, Akim, Faizal Tahir dan Hazama yang menunjukkan persaingan sengit. Kaka Azraff juga sangat bagus kawalan vokalnya," kata Azmeer.

Berita Harian X