Selasa, 26 Januari 2016 | 12:04am
FINALIS, kumpulan Calipsh Buskers menyanyikan lagu 'Hanya Namamu' pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 30 di Stadium Malawati Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
KEMUNCAK Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 30 di Stadium Melawati. - Foto Munira Abdul Ghani

Caliph Buskers nafi menang atas dasar simpati



Ketika demam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30 mula melanda peminat, baru-baru ini, lagu dendangan kumpulan Caliph Buskers, Hanya Namamu, bukanlah antara karya yang disebut-sebut bakal mendapat tempat apabila pertandingan akhir berlangsung.

Begitupun, ternyata rezeki berpihak kepada mereka apabila lagu ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim itu diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga pada pertandingan yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Ahad lalu.

Lebih manis, kemenangan berkenaan juga bagai mengangkat setahap lagi pencapaian kumpulan berkenaan yang sebelum ini memenangi kategori Persembahan Terbaik pada AJL29.

Pada edisi lalu itu, mereka menggantikan penyanyi asal Mojo, Aweera, ketika mempersembahkan lagu Romancinta, juga ciptaan Edry. Persembahan itu jugalah yang meledakkan nama kumpulan ini di arena seni.

Bagaimanapun, apabila lagu Caliph Buskers turut mendapat tempat kali ini, kedengaran kata-kata yang menganggap kejayaan mereka lebih kepada dasar simpati juri.

KUMPULAN Caliph Buskers memenangi tempat ke 3 pada Kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 30 di Stadium Melawati. - Foto Munira Abdul Ghani

Ditemui selepas acara berakhir, vokalis utama kumpulan berkenaan, Khairul Azmi Saat, 28, bagaimanapun menegaskan, mereka tidak berasakan kemenangan itu bersandarkan pada sikap simpati.

Tegas beliau, usaha mereka untuk meraih kejayaan pada AJL30 bukanlah perkara yang mudah.

"Saya tidak rasa kemenangan kami adalah kerana barisan juri bersimpati dengan kekurangan kami.

"Biarpun masih baharu dalam industri nyanyian, kami mencuba bersungguh-sungguh untuk memberi yang terbaik.

"Alhamdulillah, usaha keras kami membuahkan hasil. Terima kasih kepada Abang Edry kerana banyak memberi tunjuk ajar kepada kami," katanya merendah diri.

Selain beliau, Caliph Buskers turut dibarisi oleh Nirwan Zainal Abidin, 26, yang bermain gitar; Fendy Abdullah, 24, (dram); Syahzmeen Abdul Rahman, 24, (tamborin); Mohd Zaki Ismail, 36, (gitar) dan Nor Nadira Rubina, 24, (shaker).

FINALIS, kumpulan Calipsh Buskers menyanyikan lagu 'Hanya Namam' pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 30 di Stadium Malawati Shah Alam.- Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Khairul Azmi juga berkata, biarpun single berkenaan adalah pertaruhan kedua mereka di pentas berprestij AJL, namun debaran mengadakan persembahan masih sama.

Menurutnya, nasihat dan tunjuk ajar rakan artis banyak membantu dirinya dan teman sekumpulan berdepan dengan perasaan gemuruh apabila berdiri di pentas pertandingan yang sudah memasuki usia tiga dekad itu.

"Rasa gemuruh adalah antara punca saya 'terkucil' ketika bertanding pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik, baru-baru ini. Lagipun single terbaharu itu memerlukan kami menyanyi dengan nada tinggi tetapi lembut.

"Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan yang tidak lokek memberikan tip kepada kami menjelang AJL30. Kami jadikan tunjuk ajar itu sebagai nasihat pada malam persembahan," katanya.

Beliau turut berkongsi, Caliph Buskers bakal tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi. Namun, anggota kumpulan berkenaan dan KRU Music sendiri masih mencari lagu yang sesuai untuk tujuan itu.

PERSEMBAHAN Caliph Buskers pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) 30 di Stadium Melawati Shah Alam. - Foto Asyraf Hamzah

Sementara itu, penyebaran gambar anggota kumpulan berkenaan mencari teksi, kononnya untuk ke lokasi pertandingan terbabit, malam kelmarin, pantas menjadi viral.

Perkongsian gambar itu mula menimbulkan pelbagai persoalan, apakah kumpulan itu dijaga dengan baik oleh pihak pengurusan KRU Music?

Ada peminat marah-marah dan mendakwa KRU hanya mahu mengaut keuntungan hingga mengabaikan kebajikan kumpulan yang dulunya menyanyi di kaki lima itu.

Khabar angin yang bertebaran juga pasti mencalar imej pihak pengurusan yang diamanahkan untuk menjaga pemuzik kurang upaya ini.

"Gambar itu adalah tidak benar sama sekali. Kami dijaga baik oleh KRU. Mungkin ada yang mengambil kesempatan dengan merakamkan gambar ketika kami mencari teksi untuk menjalani rutin harian.

"Kami mengadakan persembahan bersama Abang Edry dan kebajikan kami dijaga dengan baik sepanjang berjinak-jinak dalam bidang muzik.

"Tidaklah, kami tidak diabaikan seperti yang didakwa sesetengah pihak," kata Khairul Azmi.

Menurutnya, peminat tidak sepatutnya percaya bulat-bulat dakwaan atau apa yang diperkatakan di laman sosial berdasarkan kepada sekeping gambar yang tersebar.

"Kita harap orang ramai tidak mudah percaya berdasarkan pada satu gambar saja. Tidak mustahil sesetengah perkara ditokok tambah bagi membuatkan cerita itu lebih sensasi," katanya.

Berita Harian X