Selasa, 26 Januari 2016 | 11:25am

Pembantu penguat kuasa JPJ dituduh rasuah

SEORANG pembantu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Asbudi Ali, (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, atas tuduhan terbabit rasuah menerusi transaksi tunai berjumlah RM900 di sebuah bank di Merlimau, Mac tahun lalu. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, sebentar tadi atas tuduhan melakukan rasuah berjumlah RM900, Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, Asbudi Ali, 43, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Amran Jantan sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri suatu suapan wang tunai RM900 daripada orang tengah Institut Memandu Zapcity Sdn Bhd, Nur Farhana Abd Malek, melalui deposit ke akaun Maybank sebagai dorongan memastikan kelulusan ujian memandu terhadap empat pelajar di cawangan bank berkenaan di Merlimau, Jasin pada jam 12.35 tengah hari, 4 Mac tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Fauzi Shadollah menawarkan jaminan RM3,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan jaminan dengan alasan tidak berkemampuan.

Selepas mendengar permohonan dan rayuan kedua-dua pihak, Amran kemudian menawarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari depan sebagai tarikh sebut semula kes.

Tertuduh membayar jaminan berkenaan.

Berita Harian X