Selasa, 26 Januari 2016 | 11:57am

Dr Vida pastikan masalah gaji pemain tak berulang

PENGASAS Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PENGASAS Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KOTA BHARU: Pengasas Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mahu tajaannya terhadap Kelantan lebih menekankan kepada kebajikan pemain supaya mereka mampu mempamerkan aksi cemerlang sebagai pencabar juara Liga Super musim ini.

Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida berkata, perkara itu perlu ditekankan jika mahu melihat Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) mengungguli tiga piala Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Saya sekarang ini mahu memberi tumpuan kepada pemain dari segi kebajikan terutama dalam soal pembayaran gaji kerana saya percaya jika gaji tidak diurus dengan baik akan memberi bebanan kepada pemain. Jadi bagaimana mereka mahu bermain dengan baik jika tumpuan hilang disebabkan masalah itu.

"Sebab itu saya meletakkan syarat kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk membuka satu akaun khas gaji dan penajaan. Akaun gaji ini diwujudkan bagi membolehkan pemain menerima bayaran sepatutnya pada waktu yang ditetapkan.

"Saya mahu pemain bermain dengan selesa tanpa memikirkan lagi soal bayaran gaji seperti berlaku musim lalu. Oleh itu, tajaan saya lebih khusus kepada pembayaran gaji pemain sebenarnya selain diperuntukkan untuk perkara lain seperti ubah suai Stadium Sultan Muhammad IV dan wujudkan liga tempatan," katanya ketika dihubungi semalam.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Juara Liga Super 2012, Kelantan seperti `bernafas' semula selepas berjaya memuktamadkan perjanjian penajaan bersama syarikat kosmetik, Vida Beauty Sdn Bhd bernilai RM16 juta dengan pasukan itu kini dikenali dengan gelaran 'Pamoga Qu Puteh The Red Warriors' (PQPTRW).

Hampir tumbang disebabkan krisis kewangan musim lalu, tajaan daripada syarikat kosmetik terbabit serta lebih 10 syarikat korporat yang lain membuatkan pasukan itu bagaikan 'dilahirkan' semula dan mampu menjadi pencabar kejuaraan pada saingan liga musim ini.

Mengulas lanjut, Dr Vida yang juga Penasihat Kehormat KAFA, berkata selain bayaran gaji, kemudahan untuk kecergasan dan pemulihan pemain juga disediakan dengan menempatkan gimnasium di Wisma Vida Beauty di sini.

Berita Harian X