Selasa, 26 Januari 2016 | 5:01pm

LAP bina loji rawatan air RM110 juta

PARIT BUNTAR: Kerajaan membina sebuah lagi loji rawatan air bernilai RM110 juta di Sungai Rawa, di sini, bagi keperluan air bersih daerah Kerian yang dijangka meningkat mendadak kerana kedudukannya juga termasuk dalam kawasan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kemudahan itu berikutan jangkaan keperluan bekalan air bersih daerah itu meningkat kepada 125 juta liter sehari, berbanding 79 juta liter sehari ketika ini.

Katanya, dua loji rawatan air sedia ada di Gunung Semanggol dan Jalan Baharu, di sini, kini hanya mampu membekalkan 90 juta liter sehari.

"Bagi memastikan penduduk daerah Kerian menikmati bekalan air bersih mencukupi, Lembaga Air Perak (LAP) bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sedang melaksanakan projek Skim Bekalan Air Kerian untuk menampung keperluan yang semakin bertambah disebabkan aktiviti pembangunan daerah," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi LAP ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek Loji Rawatan Air Sungai Rawa, di sini hari ini.

Zambry berkata, pelaksanaan projek bekalan air di Sungai Rawa merangkumi tiga pakej iaitu pakej pertama bernilai RM66.88 juta membabitkan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 40 juta liter sehari bermula 26 Oktober tahun lalu dan dijangka siap Oktober tahun depan.

Katanya, pakej kedua bagi pembinaan muka sauk di Terusan Besar Bagan Serai berkapasiti 130 juta liter sehari dan pembinaan stesen pam baharu, manakala pakej ketiga pembinaan saluran paip mentah dengan jalan akses bersebelahan saluran paip sepanjang lapan kilometer dari muka sauk loji ke Tangki Air Sungai Bogak ke Loji Rawatan Air Sungai Rawa, yang semuanya juga dijangka siap tahun depan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X