Selasa, 26 Januari 2016 | 9:23pm

Politeknik Port Dickson cipta Rumah Hijau Pintar

PENGARAH Bahagian Perancangan Politeknik, Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia, Dr Naimah Md Khalil (kiri sekali) melihat salah satu produk berasaskan Teknologi Hijau di Kejuruteraan Jabatan Elektrik, Politeknik Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

PORT DICKSON: Pelajar Politeknik Port Dickson (PPD) di sini, membuktikan kebolehan mereka dalam teknologi kejuruteraan apabila berjaya mencipta Rumah Hijau Pintar.

Rumah yang dibina oleh sekumpulan pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik bersama pensyarah sejak lima bulan lalu, membolehkan penggunaan tenaga elektrik, digantikan oleh tenaga yang diperoleh dari alam semula jadi, iaitu solar dan angin.

Pengarah PPD, Mohd Kharir Mohd Ibrahim, berkata antara ciri utama kepintaran rumah itu ialah fungsi kawalan seperti menyalakan dan menutup lampu boleh dilakukan dari jarak jauh, iaitu menggunakan telefon pintar android.

Walaupun teknologi Rumah Hijau Pintar bukan perkara baharu, katanya ini adalah kali pertama pelajar politeknik di negara ini berbuat demikian.

"Projek ini dijalankan melalui kerjasama dengan Politeknik Korea (KOPO) dari Korea Selatan yang turut menghantar seorang pensyarah, Profesor Dr Lee Seung Kyu, sepanjang lima bulan projek itu dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian rumah itu oleh Pengarah Bahagian Perancangan Politeknik, Jabatan Pendidikan Politeknik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr Naimah Md Khalil di PPD, hari ini.

Antara keistimewaan rumah yang dibina dengan kos RM40,000 itu, ialah corak nyalaan lampu boleh diubah mengikut cita rasa pengguna, manakala kadar kelembapan dan suhu bilik boleh dipantau pada skrin.

Malah, katanya kelembapan tanah taman di luar rumah hijau itu boleh dikawal dengan menggunakan alat pengesan.

"Jika kelembapan tanah kurang daripada kadar yang ditetapkan, air akan dipamkan secara automatik untuk menyiram pokok di taman itu," katanya.

Berita Harian X