Selasa, 26 Januari 2016 | 10:19pm

Ayda nafi punca Aiman-Fathia putus cinta

AYDA Jebat pada sidang media Anugerah Meletop Era (AME) 2016 di Sunway Hotel Resort and Spa. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
AYDA Jebat pada sidang media Anugerah Meletop Era (AME) 2016 di Sunway Hotel Resort and Spa. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

PETALING JAYA: Pelakon, Ayda Jebat, menafikan dia menjadi punca keretakan hubungan cinta pasangan selebriti, Fathia Latiff dan Aiman Hakim Ridza, seperti didakwa sesetengah pihak.

Kata Ayda, dia bukanlah orang ketiga yang menyebabkan pasangan pelakon terbabit mengambil keputusan membawa haluan masing-masing.

"Saya tidak tahu-menahu langsung mengenai apa yang berlaku dengan hubungan mereka, malah saya tidak ada masalah dengan kedua-duanya.

"Saya juga tidak pernah berhubungan dengan Aiman selepas kami selesai berlakon bersama dalam drama bersiri, Isteri Separuh Masa," katanya kepada BH Online.

Aiman dan Fathia yang disifatkan pasangan merpati dua sejoli putus cinta pada Disember tahun lalu.

Pelakon yang juga penyanyi lagu Siapa Diriku itu ditemui pada majlis pengumuman finalis Anugerah Meletop Era di sini hari ini.

Ayda menganggap dakwaan itu sebagai tidak berasas dan hanya andaian yang sengaja dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya tahu siapa diri saya dan saya yakin peminat juga faham dengan dakwaan seperti ini.

"Saya harap perkara ini tidak dibangkitkan lagi," katanya yang bakal berlakon dalam filem arahan Osman Ali tidak lama lagi.

Ditanya mengenai kisah cinta terbaharunya, Ayda yang pernah dikaitkan dengan pelakon, Zul Arrifin, berkata, buat masa ini fokus utamanya adalah kerjaya.

Selain bakal sibuk di lokasi penggambaran, Ayda juga bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Pencuri Hati ciptaan Kevin Chin dan lirik hasil nukilan bersama Ayda dan komposer berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X