Rabu, 27 Januari 2016 | 10:00am

Empat lagi mayat PATI ditemui pagi ini


ANGGOTA Polis Marin Wilayah 2, menunjukkan barangan milik mangsa lemas dipercayai warga Indonesia di pantai Sungai Tengah, Kota Tinggi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

KOTA TINGGI: Empat lagi mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditemui terdampar di Pantai Sungai Tengah, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Operasi dan Mencari/Ops Landai Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Asisten Superintendan Zakaria Yahya, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan mayat berkenaan ditemui pada jam 7 pagi.

"Anggota PPM Wilayah Dua menemui empat lagi mayat warga Indonesia pagi tadi di pantai berkenaan dan operasi mencari masih lagi diteruskan di kawasan pesisir pantai," katanya.

Dalam kejadian jam 7 pagi semalam, seorang pemandu jentolak menemui 13 mayat PATI membabitkan sembilan perempuan dan empat lelaki berusia lingkungan 20-an terdampar di pantai berkenaan berhampiran sebuah kawasan pembalakan.

Kumpulan itu yang menaiki bot gentian kaca memasuki negara ini secara haram, lemas selepas bot mereka karam akibat ombak kuat di perairan Pantai Sungai Tengah.

Berita Harian X