Rabu, 27 Januari 2016 | 4:01pm

Mutu vokal Kaka dapat pujian juri

MUTU vokal Kaka diakui antara yang terbaik pada saingan AJL 30 kali ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

KUALA LUMPUR: Sebelum ini, ramai yang meragui kemampuan vokal Kaka Azraff, 26, apabila beliau membabitkan diri dalam dunia nyanyian, kira-kira empat tahun lalu.

Bagaimanapun, penyanyi Bukan Hal Aku ini membuktikan, menerusi kerja keras beliau juga mampu muncul antara bakat yang tidak kurang hebatnya di arena seni suara seperti ditonjolkan ketika menyertai Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30), di Stadium Malawati Shah Alam, Ahad lalu.

Bukan sekadar menampilkan persembahan menarik pada malam kemuncak ketika mendendangkan lagu popularnya itu bersama-sama Alyph Sleeq, malah mutu vokalnya juga diakui antara yang terbaik pada saingan kali ini.

Biarpun persembahan dan lagu berkenaan tidak mendapat sebarang tempat, Azmeer selaku ketua juri sendiri memuji kawalan vokal Kaka ketika bercakap kepada media sebaik saja acara berakhir.

"Alhamdulillah, Kaka sendiri sangat terkejut apabila mendapat tahu daripada rakan media yang Azmeer memuji vokal Kaka. Tidak sangka, di sebalik cerita mereka yang menang, Kaka sendiri mendapat tempias pujian.

"Sejujurnya memang Kaka terkejut dengan pujian itu. Ia sedikit sebanyak menjadi penyuntik semangat buat diri Kaka, di sebalik segala kritikan terhadap keupayaan vokal Kaka selama ini," kata anak buah kepada Ella ini.

PERSEMBAHAN Kaka dan Alyph Sleeq pada malam kemuncak AJL 30, di Stadium Malawati. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Menurut Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, kerja keras untuk memberikan persembahan terbaik tidak sia-sia apabila ia mampu membuka mata orang ramai terhadap kemampuannya.

"Malam itu, Kaka hanya mahu menikmati detik indah AJL30 tanpa sebarang tekanan. Kaka hanya ingin berseronok di atas pentas. Soal kalah atau menang bukan perkara utama.

"Sejurus selesai membuat persembahan, Kaka tidak fikir apa-apa lagi. Kaka hanya keluar dari pentas dan bertepuk gembira dengan Alyph," katanya yang bersiap untuk persembahan berkenaan sejak jam 4 petang lagi.

Menurut gadis ini, selama tiga minggu beliau berlatih tanpa henti semata-mata untuk memberikan persembahan terbaik pada malam kemuncak AJL30.

"Kaka cuba memberikan kelainan. Selama tiga minggu itu juga Kaka mendapat bimbingan vokal daripada Sarah Ismail. Malah, Kaka ingin membawa sisi berbeza buat lagu ini.

"Biarpun ada yang mengandaikan lirik lagu berkenaan kosong dan tiada makna, Kaka melihat Bukan Hal Aku lebih daripada itu. Ia mengenai kekuatan manusia," katanya yang akan muncul bersama single baharu, juga ciptaan Alyph, tidak lama lagi.

Berita Harian X