Khamis, 28 Januari 2016 | 1:33pm

Cederakan pegawai mahkamah, penganggur didenda RM3,000

TAIPING: Seorang penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku salah mencederakan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Taiping, empat hari lalu.

Lim Say Chuan, 58, juga bakal berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Dia dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada pegawai berkenaan, Raja Shahril Anuar Raja Baniamin, menggunakan seutas rantai besi bermangga.

Say Chuan dituduh melakukan perbuatan itu di depan gerai sate berdekatan Kedai Perabot Lim di Jalan Sultan Abdullah, di sini pada jam 8.40 malam, 24 Januari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Majistret Noordura Mohamed Dun turut memerintahkan Say Chuan membayar ganti rugi RM800 bagi membaiki basikal mangsa yang dirosakkan oleh tertuduh, mengikut Seksyen 426 Kanun Prosedur Jenayah.

Berita Harian X