Khamis, 28 Januari 2016 | 2:41pm

Pengubahsuaian Bajet 2016 bukti ekonomi negara diurus cekap


MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

KUALA TERENGGANU: Pengubahsuaian Bajet 2016, yang dibentangkan hari ini, memberi harapan dan keyakinan ekonomi negara tetap diurus dengan cekap dan baik oleh kerajaan, walaupun dalam situasi ketidaktentuan ekonomi global.

Malah, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pertumbuhan ekonomi domestik masih mampu diunjur pada kadar antara empat peratus dan 4.5 peratus lebih tinggi daripada unjuran pertumbuhan ekonomi dunia.

Beliau berkata, kerajaan sangat prihatin dengan masalah peningkatan kos sara hidup dan langkah mengurangkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pencarum, sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan aliran tunai isi rumah.

Katanya, ada beberapa perkara yang disebut, sudah pun dirancang dalam Bajet Negeri 2016 dan Ucap Negeri 2016.

"Sebagai contoh, kedai harga patut, latihan kemahiran, bantuan kepada golongan miskin, dana perniagaan kepada industri kecil dan sederhana serta perumahan.

"Malah, kita juga sangat bersetuju dengan penekanan kepada pengisian ekonomi keperluan rakyat atau `people economy'.

"Kita juga ucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana akan mewujudkan sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuala Terengganu.

"Marilah kita bersama kepemimpinan negara mengurangkan 'politiking' dan bergerak ke hadapan dalam menghadapi situasi ekonomi global yang sangat mencabar ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

19 dibaca
Berita Harian X