Khamis, 28 Januari 2016 | 5:05pm

PAS yakin kemantapan sistem tadbir urus Tabung Haji


SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - Foto Yazit Razali

KOTA BHARU: PAS amat yakin dengan kemantapan sistem tadbir urus baik yang diamalkan oleh Tabung Haji (TH) selama ini, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, ia bukan sahaja selaras dengan pematuhan syariah, tetapi mementingkan manfaat dan menjana pulangan pendapatan yang baik kepada pendeposit.

"TH bukanlah sebuah bank dan diyakini tidak beroperasi sebagai institusi kewangan yang lebih berorientasikan keuntungan maksimum berbanding dengan pulangan kepada pendeposit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata PAS berpuas hati dengan penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang beliau temui di Parlimen semalam serta pengurusan tertinggi TH berhubung prestasi kewangan TH.

"Mereka mengesahkan prestasi kewangan TH berada dalam keadaan baik terutama apabila mengambil kira nilai aset keseluruhan portfolio pelaburan TH," katanya.

Beliau berkata, apa yang lebih penting lagi adalah jaminan bahawa bonus pendeposit bagi 2015 akan diumumkan dan dibayar dalam waktu terdekat.

Katanya, PAS mengharapkan TH akan terus komited dan melaksanakan amanah para pendeposit terutama memastikan hasrat mereka untuk menunaikan fardu haji tidak terhalang dengan apa jua kemungkinan.

Takiyuddin berkata, teguran mahupun nasihat yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia kepada institusi seumpama TH tidak harus menjurus kepada terjejasnya keyakinan pendeposit terhadap organisasi itu.

- BERNAMA

115 dibaca
Berita Harian X