Khamis, 28 Januari 2016 | 5:06pm

KWSP: Pengurangan caruman pekerja rangsang permintaan domestik - Zeti


TAN Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Pengurangan caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bertujuan merangsang permintaan domestik, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata permintaan domestik telah menjadi pemacu ekonomi negara semasa kelembapan ekonomi sebelum ini dan tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan telah mendapati permintaan domestik menyederhana dan langkah mengurangkan caruman pekerja kepada KWSP akan menggalakkan perbelanjaan domestik.

"Apa yang kerajaan lakukan adalah meletakkan wang di tangan pengguna. Ia dilakukan melalui cara ini (pengurangan caruman KWSP)," katanya semasa forum mengenai pengubahsuaian Bajet 2016 di sini hari ini.

Zeti berkata kerajaan, bagaimanapun, menyedari kepentingan simpanan bagi persaraan, oleh itu, langkah yang diambil berkenaan hanya bagi tempoh sementara iaitu dari Mac tahun ini hingga Disember 2017.

"Langkah itu adalah sementara, hanya pada tahun ini dan tahun hadapan untuk menyokong ekonomi," katanya.

Semasa pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini, kerajaan bersetuju mengurangkan caruman pekerja kepada KWSP sebanyak tiga peratus yang dijangka akan meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sebanyak RM8 bilion setahun.

Bagaimanapun, caruman majikan kepada institusi itu kekal seperti sedia ada. - BERNAMA

21 dibaca
Berita Harian X