Khamis, 28 Januari 2016 | 6:17pm

Pengagihan semula, bidaan spektrum komunikasi tingkat perkhidmatan


MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

PUTRAJAYA: Langkah kerajaan mengoptimumkan pendapatan negara daripada spektrum komunikasi adalah satu langkah untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi yang meluas untuk semua pengguna khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata ini akan dilakukan melalui usaha pengagihan semula dan bidaan spektrum yang melibatkan pengusaha-pengusaha utama industri.

Beliau berkata, sumber-sumber utama spektrum akan diagihkan semula kepada pengusaha-pengusaha utama untuk mengekalkan tahap persaingan yang mencukupi serta memastikan daya tahan dalam pasaran perkhidmatan mudah alih.

"Sebab utama pengagihan semula ini adalah untuk memastikan penggunaan spektrum dengan lebih efisyen yang mana akan merangsang pembangunan industri mudah alih dan memberi tumpuan kepada pelaksanaan perkhidmatan dan kepentingan pengguna," katanya di sini ketika diminta mengulas pengumuman Pengubahsuaian Bajet 2016 hari ini.

Salleh berkata, spektrum yang mencukupi untuk menampung keperluan kapasiti liputan akan memberi kedudukan yang lebih baik kepada pengusaha-pengusaha utama yang bakal melancarkan penyediaan perkhidmatan liputan 4G di kawasan bandar dan luar bandar.

- BERNAMA

12 dibaca
Berita Harian X