Khamis, 28 Januari 2016 | 9:42pm

Ubahsuai Bajet: Tiada kesan atas penarafan - S&P's

SINGAPURA: Penarafan kredit kerajaan dan unjuran ke atas Malaysia (mata wang asing A-/Stabil/A-2; mata wang tempatan A/Stabil/A-1; dan axAAA/axA-1+) tidak terjejas berikutan pengubahsuaian Bajet 2016, demikian menurut Standard & Poor's Ratings Services (S&P's).

Mengikut agensi penarafan itu, Bajet 2016 yang diubahsuai itu menunjukkan bahawa kerajaan tidak akan berganjak daripada pelan pengukuhan fiskalnya.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan 11 langkah di bawah Bajet 2016 yang diubahsuai bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa.

"Defisit di bawah bajet yang diubah suai itu kekal pada 3.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar bagi 2016. Apabila kerajaan merangka Bajet 2016 yang dibentangkan pada Oktober lalu, ia mengandaikan harga minyak pada AS$48 setong," mengikut agensi itu.

Bagaimanapun, berikutan harga minyak mentah yang terus jatuh, kerajaan perlu mengubahsuai bajet berkenaan, dengan mengandaikan harga minyak antara AS$30 dan AS$35 setong manakala jangkaan S&P's harga purata minyak tahun ini pada AS$40.

Mengikut S&P's, hasil fiskal yang lebih rendah diunjurkan daripada harga tenaga yang rendah akan diimbangi oleh perbelanjaan pembangunan yang dikurangkan sebanyak kira-kira RM5 bilion.

"Pada pandangan kami, pengurangan bajet secara proaktif oleh Malaysia itu menunjukkan fleksibiliti fiskalnya. Ia semakin mengurangkan defisitnya sejak 2010, dan sasaran terbaru kerajaan adalah seiring dengan jangkaan kami mengenai pengukuhan fiskal secara beransur-ansur dalam jangka sederhana.

"Bajet itu tidak mencadangkan sebarang pengurangan signifikan bagi subsidi. Pada pandangan kami, pembaharuan subsidi yang ketara selanjutnya akan menjadi penting untuk membantu Malaysia mencapai matlamat mengimbangi kadar fiskalnya pada 2020," kata agensi itu.

Menurut S&P's, pengukuhan fiskal Malaysia yang perlahan sebelum ini berpunca daripada struktur hasil yang rendah secara relatif dan ketidakmampuan untuk mengurangkan subsidi yang tinggi.

"Kami melihat inisiatif fiskal negara, seperti pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan serta rasionalisasi subsidi petroleum, mengurangkan tekanan itu.

"Justeru itu, kami yakin unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal sebagai faktor paling penting memacu pengukuhan fiskalnya. Walaupun, bajet yang diubahsuai itu mempunyai langkah untuk merangsang perbelanjaan, kami membayangkan ia tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi keseluruhan," menurut agensi berkenaan.

Menurut S&P's, ia telah ditentukan, hanya berdasarkan perkembangan yang dijelaskan, tiada sebarang tindakan penarafan diberikan ketika ini.

Hanya jawatankuasa penarafan yang mungkin menentukan tindakan penarafan dan, perkembangan berkenaan disifatkan tidak penting kepada penarafan, sama ada mereka atau laporan ini yang dinilai jawatankuasa itu. - BERNAMA

17 dibaca
Berita Harian X