Khamis, 28 Januari 2016 | 9:52pm

Susun semula aliran tunai projek - Irwan Serigar


KETUA Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah. - Foto Abdullah Yusof

PUTRAJAYA: Penjimatan dalam pengubahsuaian Bajet 2016 akan dicapai melalui penyusunan semula aliran tunai projek pembangunan mengikut keutamaan impaknya kepada ekonomi dan mengoptimumkan perbelanjaan mengurus di semua kementerian.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata kerajaan memberi jaminan untuk tidak akan membatalkan atau mengurangkan kos projek yang sudah diumumkan sebelum ini, sama ada berimpak tinggi atau tidak.

Sebaliknya, katanya, kerajaan hanya menyusun semula jadual aliran tunai bagi projek yang didapati kurang memberi impak segera kepada ekonomi negara.

"Tiada projek yang akan dikurangkan kosnya, namun apa yang akan dilaksanakan adalah menyusun semula keutamaannya. Jika projek didapati tidak memerlukan wang dengan segera, kerajaan akan menyusun semula aliran tunainya.

"Pada masa sama, kerajaan juga akan menyelaras semula tempoh pembangunan projek yang hanya memerlukan pembelian tanah tanpa perlu dimajukan dalam masa dua atau tiga tahun lagi.

"Beberapa projek seperti pembangunan sekolah, hospital, jalan raya dan bekalan elektrik tetap diteruskan seperti dirancang," katanya selepas Forum Pengubahsuaian Bajet 2016 di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada forum itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Menerusi pengubahsuaian Bajet 2016, kerajaan dijangka membuat penjimatan antara RM7 bilion hingga RM9 bilion, mengambil kira harga minyak mentah berada dalam lingkungan AS$30 hingga AS$35 satu tong.

Mohd Irwan berkata, secara dasarnya kerajaan menyasarkan membuat penjimatan RM5 bilion dalam perbelanjaan pembangunan dan kira-kira RM4 bilion daripada perbelanjaan mengurus.

Katanya, penjimatan perbelanjaan mengurus adalah menerusi pemotongan, seperti majlis keraian, perjalanan pegawai ke luar negara, mengurangkan beberapa aktiviti di peringkat kementerian, mengelak pembaziran dan sebagainya.

"Kami sudah memberitahu semua kementerian dan mereka sanggup untuk memotong perbelanjaan sedemikian. Namun, kami juga memberitahu mereka supaya jangan melakukan pemotongan atau berkompromi ke atas mekanisme penyampaian, dari segi pembayaran gaji mahu pun pembelian barangan penting.

"Tiada lagi perjalanan kelas pertama, semua pegawai kanan akan menggunakan kelas perniagaan atau ekonomi. Semasa mesyuarat pun, tiada kuih muih disediakan, hanya air mineral," katanya.

41 dibaca
Berita Harian X