Khamis, 28 Januari 2016 | 10:07pm

Pekerja boleh kekalkan caruman pada 11 peratus - KWSP

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memaklumkan pekerja boleh membuat pilihan untuk mengekalkan kadar caruman syer pekerja pada 11 peratus dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun.

Mengikut kenyataan KWSP hari ini, pekerja boleh memuat turun Notis KWSP 17A Khas 2016 di laman sesawang www.kwsp.gov.my mulai 2 Februari 2016 dan ia perlu dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada pejabat KWSP berhampiran.

Ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 di Putrajaya hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pengurangan kadar berkanun caruman syer pekerja kepada lapan peratus daripada 11 peratus untuk pekerja di bawah 60 tahun.

Sementara itu, caruman syer pekerja berumur 60 tahun ke atas pula dikurangkan kepada empat peratus daripada 5.5 peratus.

Penurunan kadar itu akan bermula pada gaji bulan Mac 2016 hingga bulan Disember 2017.

Jadual baharu Kadar Caruman Bulanan boleh dimuat turun mulai 16 Februari 2016.

Mengikut KWSP, tiada perubahan pada kadar caruman berkanun syer majikan.

- BERNAMA

47 dibaca
Berita Harian X