Khamis, 28 Januari 2016 | 10:12pm

Tak ramai dijangka kurangkan caruman KWSP - MEF


Ketua Pegawai Eksekutif MEF, Datuk Samsuddin Bardan.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menjangkakan tidak ramai pekerja di negara ini akan memilih untuk mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada 11 kepada lapan peratus mulai Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MEF, Datuk Samsuddin Bardan, berkata ini berdasarkan pengalaman lalu di mana tidak sampai 20 peratus daripada kira-kira 10 juta pekerja yang memilih berbuat demikian.

"Saya percaya ramai pekerja akan memilih untuk tidak mengurangkan kadar caruman masing-masing kerana wang KWSP adalah simpanan untuk hari tua mereka.

"Bagi MEF pengumuman dibuat kerajaan akan menyusahkan dan melambatkan proses pengiraan gaji serta meningkat kos operasi ditanggung majikan kerana mereka terpaksa mengasingkan mana pekerja yang mahu dan enggan memotong caruman KWSP masing-masing," katanya ketika dihubungi BH di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu Samsuddin berkata, MEF juga membantah cadangan kerajaan yang mahu majikan menanggung sepenuhnya kadar levi yang sebelum ini dikenakan kepada pekerja asing yang mahu bekerja di Malaysia.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan majikan di negara ini terpaksa menanggung kadar levi sebanyak RM4 bilion setahun selepas Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTPA) tidak lama lagi.

196 dibaca
Berita Harian X