Jumaat, 29 Januari 2016 | 3:44pm

Zayn Malik muncul dengan single solo

BEKAS anggota One Direction, Zayn Malik, muncul bersama single pertama, Pillowtalk.

LONDON: Bekas anggota One Direction, Zayn Malik, muncul bersama single pertama, Pillowtalk, berserta dengan klip videonya sekali beberapa jam lalu.

Video berkenaan turut dibintangi oleh model, Gigi Hadid yang kini hangat dikatakan sebagai kekasih penyanyi dari Britain itu. Klip berkenaan menggambarkan kedua-dua selebriti itu seolah-olah berada di 'syurga' dan 'medan perang'.

Lagu terbabit pula dikatakan memiliki sedikit persamaan dengan muzik diketengahkan oleh Justin Bieber menerusi album terbaharunya, Purpose, dan nyata sekali berbeza daripada bentuk muzik ketika Malik masih bersama One Direction sebelum ini.

Walaupun siaran perdana lagu itu dijadualkan pada tengah malam menerusi Beats 1, bersama-sama temubual Malik dengan Zane Lowe, peminat bagaimanapun menyedari ia tiba-tiba muncul di iTunes lebih awal daripada dijangkakan. Ia terus mendaki anak tangga ke-12 biarpun videonya belum disiarkan ketika itu.

Pillowtalk ialah lagu petikan daripada album Mind of Mine yang dijadualkan menemui peminat pada Mac depan.

Malik, 23, memberitahu Lowe, beliau menghasilkan hampir 50 lagu lagu sejak meninggalkan kumpulan berkenaan. Bagaimanapun, hanya 16 atau 17 lagu akan dimuatkan dalam Mind of Mine.

Album itu juga, katanya, sudah hampir siap dengan sedikit saja lagi sentuhan terakhir harus dilakukan sebelum ia dipasarkan dalam masa beberapa minggu lagi.

Berita Harian X