Jumaat, 29 Januari 2016 | 8:57pm

Saham KL beri reaksi positif pengubahsuaian Bajet 2016

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan kenaikan untuk hari kelima hari ini ketika pelabur memberi reaksi positif kepada Bajet 2016 yang diubah suai, kata peniaga.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI melonjak 33.27 mata atau 2.03 peratus kepada 1,667.80 berbanding 1,634.53 pada Khamis selepas dibuka 0.81 mata lebih tinggi pada 1,635.34 di sebelah pagi.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 689 berbanding 285 dengan 260 kaunter tidak berubah, 535 kaunter tidak diniaga dan 60 lagi digantung.

Jumlah dagangan melambung kepada 2.50 bilion saham bernilai RM4.03 bilion berbanding 1.82 bilion saham bernilai RM2.46 bilion semalam.

Peniaga berkata, pelabur memasuki sektor perladangan, pengguna, pembinaan serta minyak dan gas terpilih sebagai reaksi kepada pengubahsuaian Bajet 2016 yang dibentangkan semalam.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Sime Darby naik 46 sen kepada RM8.07, IOI Corp menokok 42 sen kepada RM4.85, Maybank menambah 17 sen kepada RM8.58 dan Tenaga Nasional melonjak 40 sen kepada RM13.60.

Saham aktif, KNM untung tiga sen kepada 49 sen, Tiger Synergy tidak berubah pada 8.5 sen, AirAsia X naik satu sen kepada 24.5 sen manakala AirAsia meningkat 8 sen kepada RM1.42.

Pada papan skor, Indeks Emas FBM melambung 212.50 mata kepada 11,567.65, Indeks FBMT100 meningkat 213.03 mata kepada 11,279.86 dan Indeks Syariah Emas FBM melonjak 226.28 mata kepada 12,420.82. FBM 70 naik 199.12 mata kepada 12,833.10 dan FBM Ace menambah 126.65 mata kepada 5,916.96.

Mengikut sekor, Indeks Perladangan melambung 341.68 mata kepada 7,916.20, Indeks Perindustrian menambah 89.30 mata kepada 3,320.61 dan Indeks Kewangan naik 212.71 mata kepada 13,882.41.

Volum Pasaran Utama melonjak kepada 1.77 bilion unit bernilai RM3.88 bilion berbanding 1.24 bilion unit bernilai RM2.35 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 347.05 juta saham bernilai RM81.92 juta berbanding 347.90 juta saham bernilai RM74.02 juta semalam.

Waran meningkat kepada 383.95 juta unit bernilai RM63.72 juta berbanding 231.84 juta unit bernilai RM40.29 juta. - BERNAMA

26 dibaca
Berita Harian X