Jumaat, 29 Januari 2016 | 9:03pm

BDB bina 1,350 unit kediaman baharu tahun ini


PENGARAH Urusan Kumpulan, Datuk Izham Yusoff. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Bina Darulaman Bhd (BDB), pemaju hartanah beribu pejabat di Kedah, merancang membangunkan 1,350 unit kediaman baharu tahun ini di tiga kawasan perbandaran utamanya dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM485 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Izham Yusoff, berkata pihaknya memperuntukkan kira-kira 30 peratus daripada pembangunan itu untuk kediaman berharga bawah RM300,000 yang mendapat banyak permintaan di Kedah.

Katanya, anggaran GDV bagi kediaman bawah RM300,000 itu bernilai kira-kira RM59 juta untuk kawasan perbandaran Bandar Darulaman, Darulaman Perdana (RM25 juta) dan Darulaman Utama (RM50 juta).

"Pembinaan kediaman berharga bawah RM300,000 sejajar dengan langkah pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan kerajaan semalam yang mengehadkan kediaman pada harga itu untuk pembeli pertama," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Hingga kini, BDB sudah membangunkan kira-kira 8,000 unit kediaman di tiga kawasan perbandaran yang dimajukannya di Bandar Darulaman, Darulaman Perdana dan Darulaman Utama.

Ia dibangunkan di kawasan dengan keluasan keseluruhan 1,062.7 hektar yang menawarkan pelbagai jenis hartanah termasuk teres setingkat, teres dua tingkat, kediaman berkembar, apartmen dan pusat komersial.

BDB masih memiliki 388.5 hektar simpanan tanah yang belum dimajukan iaitu 161.874 hektar di Bandar Darulaman; 144.9 hektar di Darulaman Perdana; dan 81.7 hektar (Darulaman Utama).

Mengenai prospek hartanah di Kedah, Izham berkata, pasaran di negeri jelapang padi itu amat berbeza dengan bandar utama seperti Lembah Klang dengan pertumbuhan sehingga tujuh peratus setahun.

"Sebenarnya, kami kekal yakin dengan pasaran hartanah di Kedah. Kami juga tidak bimbang dengan situasi pasaran semasa kerana kami amat memahaminya, disokong dengan produk berkualiti pada harga kompetitif. Malah, pasaran hartanah di Kedah dipelopori oleh pembeli tulen," katanya.

Mengulas langkah BDB menapak di Perak, Izham berkata, pasaran di negeri itu terutama pasaran sekunder di Kuala Kangsar memiliki kadar pertumbuhan secara organik yang sama dengan Kedah.

Katanya, projek di Kuala Kangsar berkeluasan 3.48 hektar dengan anggaran GDV RM39 juta akan dimajukan oleh anak syarikat BDB iaitu Kedah Holdings Sdn Bhd yang bakal dilancarkan pertengahan tahun ini.

"Kita merancang membangunkan kediaman jenis berkembar, teres dan banglo bagi projek di Kuala Kangsar.

"Sudah tiba masanya kita keluar dari Kedah dan berkembang di Perak. Namun, buat masa ini kita tidak merancang untuk memasuki pasaran Lembah Klang," katanya.

Berita Harian X