Khamis, 16 Oktober 2014 | 1:45pm
SARJAN Shaharuddin Abdul Shukor, 54, (kanan depan) dan tiga Pembantu Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ja'affar Ibrahim, 57 (tengah), Mohamad Rezuan Chan, 41 (dua dari kanan) dan Mohd Nasir Danuri, 45 (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur selepas menghadapi tuduhan meminta dan memperoleh suapan berjumlah keseluruhan RM4,600, antara 2012 hingga 2013. - Foto Khairull Azry Bidin

3 penguatkuasa DBKL, 2 anggota polis didakwa terima suapan

KUALA LUMPUR: Dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga Pembantu Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan meminta dan memperoleh suapan.

Kelima-lima tertuduh ialah Lans Koperal Muhammad Nazruldin Chee Chau Vui, 34, Sarjan Shaharuddin Abdul Shukor, 54, manakala tiga Pembantu Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan DBKL ialah Mohd Nasir Danuri, 45, Mohamad Rezuan Chan, 41, dan Ja'affar Ibrahim, 57.

Tiga penguatkuasa DBKL terbabit didakwa meminta wang suapan bernilai antara RM800 dan RM2,000 pada 22 dan 24 Oktober lalu di Restoran Suria Teh Tarik Ampang sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap premis berkenaan yang tidak memiliki lesen perniagaan sah di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Shaharuddin berdepan dakwaan menerima suapan bernilai RM300 pada 1 November lalu daripada Harcharanjit Singh sebagai dorongan untuk memastikan siasatan dijalankan terhadap laporan yang dibuat Harcharanjit pada 1 November berkenaan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Muhammad Nazruldin pula dituduh menerima suapan RM800 pada 4 Jun 2013 daripada Lanny Ong Boon sebagai wang perlindungan untuk kegiatan haram penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang dilakukan Lanny.

Kesemua tertuduh didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan, di sini.

Mohd Nasir, Mohamad Rezuan, Ja'affar, dan Shaharuddin dihadapkan di hadapan Hakim Rosbiahanin Ariffin, manakala Muhammad Nazruldin didakwa di depan Hakim Alleudeen Ismail.

Hakim Alleudeen menetapkan 18 November untuk sebutan semula kes dan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap Muhammad Nazruldin.

Sementara itu, Hakim Rosbiahanin menetapkan 14 November sebagai sebutan semula kes dan memerintahkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap Shaharuddin.

Bagi tertuduh Mohd Nasir, Mohamad Rezuan, Ja'affar pula, Hakim Rosbiahanin menetapkan 13 November sebagai sebutan semula dan mengenakan ikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang.

Berita Harian X