Khamis, 16 Oktober 2014 | 2:54pm

MaGIC laksana lapan program sejak April - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang berpusat di Cyberjaya sudah melaksanakan lapan program keusahawanan sejak dilancarkan April lalu, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Antara program yang sudah dan sedang dijalankan ialah dialog usahawan, Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat (GREAT 2014) dan kem keusahawanan sosial.

"Kita juga akan menghantar 70 usahawan daripada 42 buah syarikat ke Universiti Stanford bulan depan untuk memberi mereka pendedahan kepada syarikat tersohor seperti Google dan Facebook di Amerika Syarikat," katanya menjawab soalan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) dalam persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

MaGIC yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ketika melawat negara ini April lalu, bertujuan memupuk serta membangun program keusahawanan khasnya usahawan muda.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata Startup Academy MaGIC (MSA) yang dilancarkan semalam juga akan berperanan memberi pendedahan serantau dan global bagi membantu syarikat permulaan Malaysia menembusi pasaran ASEAN.

Katanya, program lain yang dijalankan ialah mengadakan 24 forum dan bengkel untuk kumpulan sasar tahun ini, mewujudkan pusat platform MaGIC yang memberi usahawan akses kepada semua agensi kerajaan yang terbabit dengan keusahawanan.

Menjawab soalan tambahan Reezal Merican, Ahmad berkata peranan MaGIC tidak bertindih dengan Yayasan Inovasi Negara, malah kerajaan akan sentiasa memastikan MaGIC akan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk membangunkan usahawan.

"Ia tidak dianggap bertindih tetapi akan sediakan pelbagai peluang. Saya akan pastikan program anjuran MaGIC akan sampai ke semua negeri seluruh negara untuk pastikan semua usahawan termasuk usahawan luar bandar dapat akses MaGIC," katanya.

MaGIC menyediakan peluang kepada usahawan muda Malaysia bagi merealisasikan impian mereka dan menjadi platform kepada golongan itu untuk menghasilkan serta membangunkan idea-idea perniagaan yang berjaya. - BERNAMA

44 dibaca
Berita Harian X