Sabtu, 30 Januari 2016 | 12:56pm

Laksanakan perbelanjaan berhemat: Ahmad Husni


MENTERI Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. - Foto Abdullah Yusof

IPOH: Semua kementerian perlu berbelanja secara berhemat sebagai mana langkah Pengubahsuaian Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Khamis lalu.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata aspek perbelanjaan berhemat turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam.

"Pastikan peruntukan yang disediakan mengikut perancangan. Contohnya kalau kita sediakan RM1, maka itulah jumlah yang perlu dibelanjakan secara berhemat.

"Di Kementerian Kewangan, kita putuskan tiada lagi tiket penerbangan kelas pertama bagi pegawai kanan yang perlu menghadiri banyak mesyuarat peringkat antarabangsa tahun ini.

"Dari segi pengurusan, ada kementerian yang dikurangkan perbelanjaannya lima peratus berbanding peruntukan Bajet 2016 dan ada yang dikurangkan dua peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelapang Jaya di sini, hari ini.

Ahmad Husni berkata, Kementerian Kewangan perlu mendahului dan menjadi contoh dalam melaksanakan perbelanjaan berhemat.

Walaupun kerajaan melaksanakan pengubahsuaian dalam bajet sedia ada, katanya, sasaran ditetapkan sebelum ini diyakini dapat dicapai dan tumpuan terus diberi dalam memastikan ekonomi terus berkembang.

"Kita realistik dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi iaitu antara empat hingga 4.5 peratus. Perbelanjaan pembangunan yang dikurangkan RM5 bilion tidak menjejaskan perancangan kerana projek bersifat kritikal tetap diteruskan," katanya.

Mengulas dakwaan beberapa pihak mengenai bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mula dibayar Khamis lalu belum diterima, Ahmad Husni berkata, ia dilakukan secara berperingkat melalui akaun masing-masing.

Katanya, penerima boleh memeriksa sama ada mereka tersenarai sebagai penerima atau tidak manakala penerima yang tidak mempunyai akaun bank akan diberi baucar penerimaan yang akan diagihkan seperti sebelum ini.

33 dibaca
Berita Harian X