Ahad, 31 Januari 2016 | 12:09am
SANTUARI ini diwujudkan adalah untuk kelangsungan spesies ikan berkenaan daripada terus pupus berikutan permintaan dan harganya yang cukup tinggi di pasaran. - Foto Muhaizan Yahya
PENGUNJUNG Royal Belum bukan sahaja berpeluang melihat spesies empat ikan berkenaan malah dapat menikmati keindahan flora dan faunanya yang menenangkan. - Foto Muhaizan Yahya

Santuari elak kelah pupus dari Taman Royal Belum

GERIK: Sebuah pusat konservasi atau santuari dibina bagi melindungi empat spesies ikan air tawar yang berdepan kepupusan dalam Taman Negeri Royal Belum di sini.

Selain ikan kelah, santuari di Air Terjun Sungai Rouk itu turut melindungi temoleh, tongsan dan sebarau, demi memastikan empat spesies terancam dan menghuni hutan hujan tertua itu kekal pada habitatnya.

Pemilihan baka ikan untuk dibiakkan di santuari itu diambil daripada induk yang diperoleh daripada kawasan sama bagi memastikan keunikannya terpelihara.

Langkah itu sedikit berbeza berbanding santuari kelah lain di negara ini, bagi memastikan ikan terbabit setara dan cergas mengikut habitatnya serta tidak mudah mati ketika berdepan fenomena kepala air di kawasan air terjun ketika hujan di hulu sungai.

PERJALANAN dengan bot mengambil masa selama kira-kira 15 minit dari jeti awam Pulau Banding untuk sampai Air Terjun Sungai Rouk. - Foto Muhaizan Yahya

SANTUARI kelah di lokasi air terjun ini berbeza dengan yang lain kerana untuk memastikan ikan terbabit setara dan cergas mengikut habitatnya serta tidak mudah mati ketika berdepan fenomena kepala air. - Foto Muhaizan Yahya

Air terjun yang mengambil masa perjalanan dengan bot selama selama kira-kira 15 minit dari jeti awam Pulau Banding, dipilih berikutan lokasinya dikesan menjadi tumpuan kelah serta mempunyai takungan yang besar.

Ketua Renjer Perbadanan Taman Negeri Royal Belum, Safri Muhiyuddin, berkata santuari kelah Royal Belum adalah pusat konservasi yang berperanan memastikan spesies asal yang mendiami kawasan berkenaan kekal menghuni dan menjadi daya penarik pengunjung ke situ.

"Kelah yang ada di sini dibiakkan menggunakan induk asal spesies yang mendiami kawasan ini. Kami mempunyai polisi tidak mengambil benih dari luar bagi memastikan kelah santuari ini mempunyai daya tahan semula jadi sebagaimana induk asalnya.

"Jika saiznya terlalu besar, ia sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran, terutama setiap kali berlaku fenomena kepala air kerana ikan terpaksa bertungkus lumus mengekalkan kedudukan di sini atau hanyut dibawa arus dan akhirnya mati," katanya.

EMPAT spesies ikan air tawar seperti ikan kelah, temoleh, tongsan dan sebarau terdapat di sini. - Foto Muhaizan Yahya

BAGI memastikan keunikannya spesiesnya terpelihara pemilihan baka ikan diambil daripada induk yang diperoleh daripada kawasan sama. - Foto Muhaizan Yahya

Safri berkata, matlamat utama santuari kelah itu diwujudkan adalah untuk kelangsungan spesies ikan berkenaan daripada terus pupus berikutan permintaan dan harganya yang cukup tinggi di pasaran.

Katanya, kelah mendapat permintaan yang cukup tinggi dengan harganya mencecah hingga RM150 sekilogram dan berikutan kawasan santuari yang dipagar turut sering dibolosi pemancing yang menceroboh kawasan itu.

"Jabatan memagar santuari ini bagi memastikan ia tidak dimasuki sewenang-wenangnya pelawat tanpa permit. Namun keupayaan kami terhad kerana kedudukan lokasi dan jumlah anggota tidak mencukupi, agak sukar mengekang sepenuhnya pencerobohan.

"Sudah beberapa kali kawasan pagar santuari ini dibolosi pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencuri dan mengambil kelah dari kawasan ini tanpa memikirkan kesannya," katanya.

KETUA Renjer Perbadanan Taman Negeri Royal Belum, Safri Muhiyuddin. - Foto Muhaizan Yahya

PAGAR dipasang di santuari ini bagi memastikan ia tidak diceroboh oleh pelawat tanpa permit. - Foto Muhaizan Yahya

Katanya, pemantauan secara berkala termasuk rondaan dibuat pihaknya dalam usaha membanteras pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab itu.

Difahamkan, kepupusan semua spesies terbabit berpunca daripada aktiviti memancing dan membawa keluar secara haram yang tidak terkawal.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Perbadanan Taman Negeri Royal Belum, Noor Asmah Mohd Nawi, berkata santuari kelah di Air Terjun Sungai Rouk adalah antara tarikan pengunjung yang mahu melihat ikan yang semakin terancam itu hidup dalam habitat mereka yang tersendiri.

Katanya, ketika ini pelbagai usaha dijalankan bagi mengetengahkan tarikan berkenaan kepada pengunjung ke Royal Belum bagi melihat lebih dekat pendekatan yang digunakan dalam usaha memelihara spesies empat ikan berkenaan terutama kelah daripada diancam kepupusan akibat sikap tamak manusia.

Namun, kebanyakan spesies di santuari terbabit bersaiz sederhana yang menjadi kelebihan kepada ikan itu terus bertahan dalam kawasan takungan daripada dihanyutkan arus deras kepala air.

Berita Harian X