Ahad, 31 Januari 2016 | 4:09pm

Semua sumber hutan akan dikenakan bayaran

KETUA Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Abdul Rahim disaksikan Pengarah Perhutanan negeri, Zahari Ibrahim (kiri) memeriksa Dron yang diserahkan kepada Pegawai Hutan Jajahan dan Pegawai Unit Operasi dan Penguatkuasaan pada Majlis Memperbaharui Ikrar Perkhidmatan Awam Tahun 2016 dan Amanat Ketua Pengarah Perhutanan kepada warga Jabatan Perhutanan Kelantan di Dewan Teratai, Kompleks Darul Naim, Kota Bharu. - Foto Zaman Huri Isa
KETUA Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Abdul Rahim disaksikan Pengarah Perhutanan negeri, Zahari Ibrahim (kiri) memeriksa Dron yang diserahkan kepada Pegawai Hutan Jajahan dan Pegawai Unit Operasi dan Penguatkuasaan pada Majlis Memperbaharui Ikrar Perkhidmatan Awam Tahun 2016 dan Amanat Ketua Pengarah Perhutanan kepada warga Jabatan Perhutanan Kelantan di Dewan Teratai, Kompleks Darul Naim, Kota Bharu. - Foto Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Jabatan Perhutanan akan mengemukakan cadangan pada mesyuarat Majlis Tanah Negara akan datang mengenai langkah mengenakan bayaran bagi semua sumber baharu dalam hutan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Abdul Rahim, berkata langkah itu sejajar usaha untuk meningkatkan kutipan hasil hutan jabatan berkenaan sehingga RM600 juta mulai tahun ini.

Beliau berkata, sebelum ini banyak sumber hutan dibiarkan tanpa mendapat sebarang hasil termasuk sumber air di kawasan hutan tadahan walaupun ia di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan.

"Jadi, kita akan kita bincang dalam mesyuarat Majlis Tanah Negara termasuk menentukan kadar caj atau bayaran yang boleh dikenakan kepada pengguna yang mengambil sumber dalam hutan seperti pengambilan sumber air daripada kawasan hutan tadahan selain balak.

"Seperti sumber air daripada kawasan hutan tadahan selama ini, ada yang   mengambilnya secara percuma dan kita tidak mendapat bayaran satu sen pun," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis  Memperbaharui Ikrar Perkhidmatan Awam Tahun 2016 dan Amanat Ketua Pengarah Perhutanan kepada warga Jabatan Perhutanan Kelantan, di Kota Darulnaim, sebentar tadi.

Abdul Rahman berkata, antara sumber baharu lain yang akan diberi perhatian dan boleh dikutip hasil seperti pembangunan di kawasan tadahan, kawasan eko pelancongan, biodiversiti termasuk caj dari segi pembekalan oksigen dari hutan.

"Selama ini kita tidak menumpukan kepada sumber berkenaan yang banyak dalam hutan kerana hanya melihat kepada kayu kayan sahaja dan sektor industri pembalakan.

Beliau juga mengarahkan semua Pengarah Perhutanan negeri di Semenanjung, mengambil langkah sewajarnya ke arah meningkatkan pendapatan jabatan terbabit bagi mencapai sasaran hasil pendapatan RM600 juta dengan menguatkuasakan semua sumber dalam hutan yang dalam bidang kuasa jabatan terbabit.

"Kalau ada Jabatan Hutan negeri yang boleh mendapat hasil sehingga RM60 juta setahun dan ada yang yakin boleh mencapai lebih daripada itu, tidak mustahil kita boleh kutip hasil sehingga RM600 juta daripada sumber hutan untuk seluruh Semenanjung dengan menilai semula sumber baharu dalam hutan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Perhutanan Kelantan kini dibekalkan dengan empat unit 'dron' bagi meningkatkan pengawasan pencerobohan hutan oleh peneroka dan pembalakan haram di negeri ini.

Katanya, dengan adanya dron akan menjimatkan masa seperti untuk operasi meninjau kawasan hutan yang diceroboh serta maklumat pencerobohan dapat diketahui lebih cepat.

"Dron ini akan menjadi sebahagian daripada tugas dan menjalankan operasi meninjau kawasan hutan daripada kegiatan pencerobohan haram.

"Dron yang berharga RM2,000 seunit itu dibekalkan kepada Pejabat Hutan Gua Musang, Tanah Merah, Machang, Unit Operasi dan Penguatkuasaan Jabatan Hutan Kota Bharu," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X