Isnin, 1 Februari 2016 | 10:17am

Op Selamat 8 bermula hari ini

KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kanan) menampal pelekat OP Selamat pada kenderaan petugas OP Selamat di Majlis Pelancaran OP Selamat 8/2016 sempena Tahun Baru Cina di Restoran Jejantas Sg Buloh, Jumaat lalu. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Op Selamat 8/2016 sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula hari ini selama dua minggu sehingga 16 Februari depan dengan menumpukan penguat kuasaan secara penuh.

Bertemakan 'Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi', operasi secara penuh itu dilakukan dengan semua aset polis digerakkan membuat pengawasan secara bergerak dan statik di lokasi strategik dengan tindakan penguatkuasaan diambil serta merta terhadap mereka yang dikesan melakukan kesalahan.

Pendekatan itu diambil sebagai salah satu usaha ke arah menurunkan statistik kemalangan pada musim perayaan serta mendidik pengguna supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan, seterusnya mengelakkan kehilangan nyawa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika majlis pelancaran di Restoran Jejantas Jumaat lalu turut mengumumkan penubuhan pasukan 'Strike Force' trafik bagi membantu polis kontinjen Negeri Sembilan, Melaka dan Johor melakukan pemantauan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan bersempena musim perayaan.

Khalid berkata, pasukan khas itu adalah projek perintis PDRM bagi membantu polis kontinjen negeri menangani kes kemalangan jalan raya yang mencatatkan peningkatan setiap tahun.

Katanya, pasukan itu berpangkalan di Muar, Johor dan akan bergerak secara berkala ke lokasi yang dipercayai kerap berlaku kemalangan dan akan diperluaskan ke zon lain termasuk utara dan timur.

Mengikut statistik, jumlah kemalangan di seluruh negara tahun lalu meningkat sebanyak 2.8 peratus iaitu 489,606 kes berbanding 476, 196 kes pada tahun 2014.

Berita Harian X